Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying yakin pemain muda beregu campuran negara, Cheng Su Yin akan cepat menyesuaikan diri dengan kejohanan di peringkat tertinggi.
Jelas Liu Ying, dia masih muda dan sudah pasti akan merasai tekanan tinggi bila beraksi di dalam gelanggang pada kejohanan besar kerana setiap pemain akan melalui perkara itu dan itu adalah proses untuk dia dan pasangannya, Hoo Pang Ron.
“Saya rasa ini adalah perkara biasa bagi mereka kerana ini adalah perjalanan untuk menjadi pasangan terbaik dunia.
“Kalau dia (Su Yin) selalu menyertai kejohanan besar, itu boleh mengurangkan masalah (gementar) dan dia akan lebih cepat bangkit dan menyesuaikan diri dengan situasi ini,” katanya.
Sebelum ini, pemain berusia 21 tahun mengakui berasa sedikit berdebar ketika beraksi di kejohanan besar namun dirinya memaklumkan Pang Ron selaku pemain berpengalaman sering mengajar dan memberikan banyak kata-kata semangat kepada dia.
Selain itu, Liu Ying juga menyarankan kepada Pang Ron-Su Yin untuk lebih bersedia kerana beregu lawan sudah pasti akan memberi tumpuan lebih kepada corak permainan mereka selepas tampil cemerlang dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
“Sekarang ini saya rasa perjalanan mereka sudah betul, jadi macam mana Pang Ron-Su Yin nak kekalkannya sebab mereka adalah pasangan baru dan semua belum tahu gaya permainan mereka,” katanya.
sumber:- HM
Ketika ini, gandingan itu berada di ranking ke-21 dan akan membuat penampilan pertama di Terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada 7 hingga 12 Januari nanti.