sukan

Nama Park Ji-sung dikaitkan dengan pasukan Malaysia

Bekas pemain tengah Manchester United, Park Ji-sung antara individu yang paling tepat untuk menggalas cabaran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya sekali gus berupaya membawa pasukan negara ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

Individu itu antara yang sesuai untuk menggalas cabaran terbabit berdasarkan kepada pengalamannya pernah beraksi dengan pasukan gergasi dunia selain turut berpengalaman di pentas Piala Dunia.

Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim menjelaskan ketika ini tiada individu tempatan bersesuaian memegang jawatan sebagai CEO Harimau Malaya berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, bekas pemain Korea Selatan berusia 43 tahun itu juga memiliki rangkaian perhubungan yang erat dengan individu berpengaruh dunia sekali gus mampu membantu mempertingkatkan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

“Saya melihat individu paling sesuai menyandang jawatan CEO adalah Ji Sung. Beliau juga memiliki pengetahuan dalam bidang perniagaan dan ada hubungan baik beberapa pihak di Eropah.

“Hal ini kerana, bagi saya di Malaysia tiada individu yang beraksi di peringkat tertinggi dalam bola sepak seperti Piala Dunia dan pada masa sama memiliki pengaruh dan pengetahuan tinggi dalam sukan itu.

“Jika mahukan perubahan, kita perlu berani mengambil individu yang ada nama di mata dunia sekali gus akan dipandang oleh negara lain,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan kriteria sebagai CEO skuad Harimau Malaya bukanlah ‘cap ayam’ apabila perlu sekurang-kurangnya pernah beraksi di peringkat tertinggi dalam arena bola sepak tanah air.

Perkara itu antara yang ditekankan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bagi individu yang mahu mengisi jawatan penting itu.

Menerusi platform X, Tunku Mahkota Ismail yang menjadi tulang belakang di sebalik penstrukturan organisasi skuad Harimau Malaya turut memberi bayangan bahawa pemilihan CEO hampir dimuktamadkan.

sumber:- HM

Malah, Tunku Mahkota Ismail mahukan CEO terbabit memiliki kualiti yang terbaik supaya dapat membantu meningkatkan mutu skuad kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi selepas ini.