Vietnam menempah tiket ke pentas akhir Piala ASEAN 2024 selepas menyingkirkan Singapura dengan agregat 5-1 di pusingan separuh akhir.
Naga Emas menewaskan skuad Singa 3-1 dalam separuh akhir kedua di Stadium Viet Tri, sebentar tadi selepas merekodkan kemenangan 2-0 dalam aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Khamis lalu.
Juara empat kali, Singapura berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi Faris Ramli, namun jaringan itu dibatalkan selepas pengadil, Rustam Lutfullin menyemak video bantuan pengadil (VAR).
Pengadil mengambil masa kira-kira enam minit untuk meneliti VAR dengan Shawal Anuar didakwa berada pada kedudukan ofsaid sebelum jaringan itu dihasilkan.
Malang menimpa skuad Singa pada penghujung babak pertama apabila tindakan Lionel Tan menarik baju Nguyen Xuan Son dikesan VAR yang menyaksikan Lutfullin memberikan sepakan penalti kepada Vietnam.
Kesempatan itu tidak disia-siakan Son untuk meledak gol pertama Vietnam, sekali gus menggandakan kelebihan agregat buat pasukannya.
Penyerang berusia 27 tahun itu kemudian menambah gol kedua pada minit ke-63 apabila mudah menolak masuk bola hantaran lintang Nguyen Hoang Duc.
Singapura menghidupkan sisa perjuangan mereka apabila Kyoga Nakamura meledak gol jarak jauh dari luar kotak penalti pada minit ke-74.
Namun, Nguyen Tien Linh menutup peluang untuk Singapura bangkit apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Amirul Adli menjatuhkan Nguyen Van Vi.
sumber:- BH
Lawan Vietnam di final akan diketahui, esok selepas aksi separuh akhir kedua antara juara bertahan, Thailand dan Filipina di Stadium Rajamangala, Bangkok.