Selangor FC (SFC) mengumumkan ‘perpisahan’ dengan tonggak pertahanan import, Umarbek Eshmurodov meskipun saingan musim ini belum berakhir.
Gergasi Merah dalam kenyataan memaklumkan kelab berkenaan secara rasmi melepaskan pemain kebangsaan Uzbekistan itu setelah kontraknya tamat pada bulan ini.
“Umarbek adalah pemain asing musim 2024/25 pertama SFC yang diumumkan pada Februari lalu, kini dilepaskan untuk terus mengembangkan karier beliau di negara kelahirannya Uzbekistan.
“Selangor FC menjadi kelab pertama beliau beraksi di luar negara, namun semangat yang ditunjukkan beliau ketika bersama kem Merah Kuning adalah sesuatu yang wajar dibanggakan,” kata SFC.
Eshmurodov beraksi dalam 18 perlawanan bersama SFC termasuk saingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Cabaran dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2024/25.
Beliau berjaya menyumbang satu gol serta membantu satu jaringan sepanjang bersama Gergasi Merah.
sumber:- BH
Selangor kini memiliki baki saingan dalam Liga Super dan Piala Cabaran selepas tersingkir daripada Piala Malaysia dan ACL2.