Peminat setia Terengganu FC (TFC) meletakkan harapan tinggi agar dua pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dibenarkan beraksi menentang skuad Harimau Selatan itu pada aksi separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
Finalis Piala Malaysia musim lalu itu bakal membuat perhitungan pada aksi separuh akhir pertama saingan piala berprestij itu pada 17 Januari ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebelum aksi timbal balik pada 1 Februari di Johor Bahru.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, peminat setia skuad Penyu mengharapkan sekatan tidak membenarkan dua pemain pinjaman itu beraksi menentang JDT dapat dibuka.
Jelasnya, kehadiran dua pemain tonggak TFC itu begitu penting dalam memperkasakan lagi skuad itu sebagaimana yang diperagakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Shopee sebelum ini.
“Kami sedar perjanjian budiman (‘gentlement’s agreement’) kedua-dua pihak pengurusan dengan tidak membenarkan dua pemain itu beraksi sekiranya bertembung dengan kelab gergasi itu kerana berstatus pemain pinjaman.
“Namun harapan peminat setia agar sekatan itu dapat dibuka sekali gus membenarkan dua pemain utama skuad Penyu itu bermain pada aksi separuh akhir nanti.
“Selain kami mahu menyaksikan satu perlawanan yang menarik antara juara dan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu, kehadiran dua pemain itu dalam pasukan mampu menyemarakkan lagi semangat peminat setia untuk menyaksikan perlawanan yang bagaikan ulangan Piala Malaysia musim lalu itu.
“Kami peminat setia skuad Terengganu memohon jasa baik pemilik pasukan JDT yang juga pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dapat membenarkan dua pemain itu beraksi sebagaimana seorang lagi pemain pinjaman skuad itu, Muhammad Azam Azmi Murad.
“Pada masa sama kami juga mengharapkan pihak pengurusan TFC membuat permohonan secara rasmi kepada pihak pengurusan JDT agar sekatan itu dapat dibuka,” ujar Mohd Isa.
Terdahulu Safawi menerima dengan hati yang terbuka jika langkahnya bersama TFC terhenti di peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia selepas pasukannya dijadualkan berdepan dengan JDT.
sumber:- BH
Hal ini kerana dua pemain pinjaman itu terikat dengan ‘gentlement’s agreement’ sebagaimana yang termeterai sebelum pemain itu menjejak kaki ke bumi Terengganu bersama TFC.