sukan

Mereka diberikan ‘cuti’ dua minggu oleh MFL

Aksi kompetitif membabitkan pasukan Liga Super berhenti seketika apabila mereka diberikan ‘cuti’ dua minggu oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekali gus membolehkan pemain berehat dan pulih daripada kecederaan.

Berdasarkan kepada jadual yang dikeluarkan MFL, pasukan Liga Super hanya akan kembali beraksi secara kompetitif bermula awal tahun depan sekali gus menyaksikan penyokong terpaksa mengubat kerinduan dengan menonton perlawanan pasukan luar negara.

Kali terakhir pasukan beraksi pada Liga Super adalah pada 18 Disember lalu membabitkan perlawanan antara PDRM FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC serta ‘Derbi Utara’ membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Penang FC.

Aksi terakhir bagi Piala Malaysia dan Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pula adalah Selasa lalu iaitu Kuching City FC menentang Sabah FC dan PT Athletic bertemu Penang FC bagi perebutan tiket ke separuh akhir bagi saingan masing-masing.

Aksi Liga Super seterusnya akan bermula pada 10 Januari manakala aksi separuh akhir Piala Malaysia membuka tirainya pada 17 Januari antara Terengganu FC berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Satu lagi juara bertahan, PDRM FC akan membuka saingan separuh akhir Piala Cabaran MFL berdepan KDA FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Januari.

Tempoh rehat ini sudah pasti memberikan kelegaan kepada semua pasukan yang bertanding bagi membolehkan mereka mendapat rehat yang diperlukan sebelum menyambung ‘perjuangan’ dalam kancah domestik.

Situasi ini diakui pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi yang pernah berkata sedemikian selepas anak buahnya mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Cabaran MFL hasil kemenangan 8-1 secara agregat ke atas KDN FC.

“Selepas ini, kita akan berehat seketika untuk mengurangkan keletihan dan kesakitan kerana kami mengharungi banyak perlawanan sepanjang bulan ini.

sumber:- HM

“Buat sementara waktu, pemain Gergasi Merah diberikan berehat untuk seketika dan akan kembali ke pasukan pada awal bulan depan,” katanya.