Selangor FC (SFC) melaungkan amaran selepas melangkah ke separuh akhir Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2024/25 dengan penuh bergaya apabila menyingkirkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 8-1 secara agregat pada peringkat suku akhir.
Berkelebihan empat gol hasil kemenangan 5-1 pada aksi suku akhir pertama, skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi itu tidak berdepan masalah menumbangkan KDN FC 3-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Juara Piala Malaysia 33 kali itu akan berdepan sama ada Penang FC ataupun PT Athletic pada separuh akhir nanti dengan ketika ini Penang FC berkelebihan 4-0 secara agregat.
Pada aksi terbabit, tuan rumah mendahului seawal minit ke-10 selepas Sharul Nazeem Zulpakar melonjak tinggi melepasi kawalan pertahanan KDN FC sebelum menyudahkan hantaran berpunca daripada sepakan percuma Alvin Fortes.
Penyerang SFC, Ronnie Fernandez terlepas peluang menggandakan kelebihan mereka apabila rembatannya yang menyambut hantaran Faisal Halim dikeluarkan pertahanan KDN FC di depan pintu gol mereka.
KDN FC cuba membalas menerusi Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin namun Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi tidak berdepan masalah menyelamatkan percubaan pemain itu.
Ronnie yang beberapa kali dikecewakan akhirnya menemui jaringan di penghujung babak pertama untuk tuan rumah melebarkan jurang kepada 2-0.
Bersambung babak kedua, SFC terus ‘mengganas’ dengan gol ketiga selepas hantaran Fortes disudahkan dengan baik oleh Danial Asri pada minit ke-60.
sumber:- BH
SFC menggandakan asakan untuk mendapatkan gol keempat namun tidak berjaya untuk kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.