sukan

Legenda Singapura tabik Hidalgo selepas mengganas

Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menegaskan skuad kendaliannya perlu lebih berdisiplin apabila beraksi pada separuh akhir Piala Malaysia, 17 Januari ini.

Katanya, beberapa kesilapan mudah yang dipersembahkan anak buahnya dalam usaha menyekat Perak FC pada suku akhir kedua malam tadi, perlu dielakkan jika mahu melangkah ke pentas final piala berprestij itu.

“Sri Pahang sudah lama tidak beraksi di final dan kali ini dapat peluang ke separuh akhir memerlukan disiplin tinggi buat semua pemain untuk memastikan kejayaan pada musim 2024/2025.

“Namun, sebenarnya saya bersyukur kerana misi ke separuh akhir tercapai walaupun seri terutamanya selepas pemain melakukan kesilapan untuk gol kedua dan ketiga Perak.

“Saya bangga dengan pemain selepas diasak pada 10 minit terakhir perlawanan yang menyaksikan jentera pertahanan kekal bertahan,” kata legenda bola sepak Singapura itu.

Mengulas hatrik daripada Manuel Hidalgo, Fandi memuji prestasi pemain Argentina itu yang berjaya menjaringkan tiga gol pada babak pertama, termasuk dua daripadanya menerusi sepakan penalti.

“Bagi saya tiga gol daripada Hidalgo juga adalah hadiah terbaik kerana dia bakal melangsungkan perkahwinan dan menjadi suami.

“Begitu juga semua pemain yang bekerja keras untuk memastikan Sri Pahang mengisi slot separuh akhir piala berprestij ini,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Hidalgo melakukan hatrik pada minit kelima, m-30 dan m-45 dan manakala tiga gol Perak, masing-masing satu dijaringkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor (m-9), Jesper Nyholm (m-41) dan Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil (m-54).

sumber:- BH

Biarpun seri 3-3, Sri Pahang layak ke separuh akhir dengan agregat 4-3 selepas mencatat kemenangan 1-0 pada suku akhir pertama di Manjung pada 13 Disember lalu.