sukan

“Kalau hanya berdiam diri, masalah ini tidak akan selesai “

Masalah jadual perlawanan bola sepak yang sering bertembung antara saingan liga domestik dan kejohanan peringkat antarabangsa seperti Piala Asean kini menjadi isu utama dalam kalangan peminat serta pengurusan di Asia Tenggara.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa, pertembungan jadual itu timbul kerana kekurangan perbincangan dan kerjasama antara pihak berkepentingan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), badan induk bola sepak negara Asia Tenggara lain dan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF).

Salah satu punca utama yang dikenalpasti adalah sikap ego sesetengah pemimpin, terutamanya di peringkat kelab.

“Masalah Ini timbul di kalangan pemimpin yang ada ego masing-masing, terutama di peringkat kelab. Bagaimana nak meletakkan atau mengetepikan ego itu demi kepentingan negara? Itu persoalan utama,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ego ini bukan sahaja menyulitkan kerjasama antara pengurusan kelab dan persatuan bola sepak, malah ia memberi kesan kepada skuad kebangsaan yang memerlukan keserasian pemain terutama di Piala Asean.

Tambahnya, badan induk bola sepak setiap negara Asia Tenggara harus memberi keutamaan kepada skuad kebangsaan, terutama untuk kejohanan seperti Piala Asean atau mewujudkan pertandingan (liga) peringkat kelab untuk menaikkan standard bola sepak di rantau ini.

Sementara itu bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menegaskan bahawa perbincangan antara FAM dan AFF adalah langkah penting untuk menyelesaikan isu jadual yang bercelaru, terutama selepas pandemik Covid-19 yang mengganggu banyak perancangan sukan.

“Kalau boleh berbincang, itu adalah lebih baik. Setiap perbincangan itu untuk kebaikan. AFF tak semestinya sentiasa betul, dan FAM juga boleh memberi pandangan yang baik untuk kepentingan bersama,” ujarnya.

Tambah Azlan masalah jadual dan kepentingan antara kelab serta negara hanya boleh diselesaikan melalui perbincangan terbuka dan kerjasama antara semua pihak.

“Kalau hanya berdiam diri, masalah ini tidak akan selesai. Kita perlu berbincang untuk memastikan masa depan bola sepak Asia Tenggara lebih cerah,” katanya.

sumber:- HM

Skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Asean baru-baru ini menyaksikan pemain terpaksa keluar dan masuk untuk memberi bantuan kepada kelab masing-masing yang masih lagi mempunyai aksi sama ada peringkat liga mahu pun piala.