JDT belum selamat – Bidoglio

Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mengambil sikap berwaspada apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, petang esok.

Walaupun berbekal kemenangan tipis 2-1 pada aksi suku akhir pertama, baru-baru ini, pengendali JDT, Hector Bidoglio membayangkan skuad kendalian Miroslav Kuljanac bakal tampil dengan corak permainan agresif.

“Saingan Piala Malaysia amat penting bagi kami dan beraksi di laman sendiri bakal beri kelebihan buat JDT dan saya tidak nafikan KL City FC pasukan yang sukar ditewaskan. Malah seperti yang saya katakan saingan Liga Super dan Piala Malaysia amat berbeza kerana piala berprestij itu ada aura tersendiri.

“Apa pun, kami akan pamerkan aksi terbaik baik memburu kemenangan yang lebih selesa kerana kedudukan 2-1 ketika ini belum selamat buat JDT malah perlu lebih waspada dengan corak permainan lawan pada perlawanan itu nanti.

“Kami perlu tampil dengan corak permainan yang lebih dinamik dan berintensiti tinggi malah setiap pemain yang bakal diturunkan dalam perlawanan itu nanti harus memberi fokus sepenuhnya dan tidak mengambil sikap sambil lewa dan menganggap sudah selesa dengan kemenangan aksi pertama,” kata Bidoglio.

Bigodlio turut menegaskan kegagalan untuk beraksi dengan baik ketika aksi suku akhir pertama akibat keadaan padang yang kurang baik menjejaskan rentak permainan JDT dan berbanding beraksi di SSI nanti kualiti padang yang baik akan beri kelebihan untuk beraksi cara permainan JDT.

“Tidak dinafikan kami memiliki banyak peluang menjaringkan gol menerusi gerakan `set-piece’ dan situasi itu harus diperbaiki kerana peluang sedemikian tidak boleh dilepaskan malah pemain kena peka dan ambil peluang untuk cipta jaringan.

sumber:- BH

“Saya jangkakan KL City akan beraksi secara bertahan dan bertindak menerusi serang balas dan kami tidak boleh leka malah sentiasa berhati-hati dengan corak taktikal pasukan lawan dan tidak terperangkap dengan helah mereka,” katanya.