Izzuddin-Sze Fei kini sah nombor satu

Beregu profesional sensasi negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani seperti dijangka mengambil alih status beregu utama negara apabila mengisi ranking ketiga dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Situasi itu menyaksikan naib juara Jelajah Dunia BWF di Hangzhou, China Ahad lalu itu mendaki empat anak tangga dari ranking tujuh dunia sekali gus merampas takhta yang sebelum ini dipegang Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024, Aaron-Wooi Yik yang sebelum ini mengisi ranking lima dunia turut jatuh satu anak tangga ke kedudukan keenam.

Apa yang menarik, Sze Fei-Izzuddin yang memulakan tahun ini di ranking 26 dunia tampil dengan peningkatan prestasi mendadak selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hujung Ogos lalu.

Selepas menjuarai Terbuka Jepun yang menjadi hadiah perpisahan sebelum meninggalkan BAM untuk bergerak secara profesional, pasangan itu menambah dua lagi gelaran Jelajah Dunia iaitu Terbuka China dan Terbuka Artik.

“Sekalipun ada yang melihat kedudukan ranking hanya sebagai angka, tetapi bagi kami ia adalah satu cara untuk kami meningkatkan lagi motivasi kami untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.

“Kami tahu yang kami perlu bekerja keras untuk terus konsisten tetapi sasaran kami pada tahun depan adalah untuk mengatasi apa yang kami capai tahun ini,” kata Izzuddin ketika ditemui selepas pulang dari China di KLIA, semalam.

Kejayaan menjuarai Terbuka China turut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin melengkapkan semua koleksi kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia daripada Super 100 hingga Super 1000.

Mereka berpeluang mengisi kedudukan ranking lebih baik tetapi kekalahan di final Jelajah Dunia Akhir BWF kepada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark merobek impian itu.

sumber:- BH

Selain menamatkan 2024 sebagai beregu terbaik negara, Sze Fei-Izzuddin turut mengaut kira-kira RM1.77 juta daripada 16 kejohanan yang disertai sepanjang musim ini.