Pasukan PDRM FC berpesta gol di Stadium Majlis Perbandaran Selayang selepas membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 5-0 dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.
Penyerang import PDRM, Ifedayo Olusegun hanya memerlukan lima minit untuk meletakkan skuad kendalian P Maniam di depan hasil rembatan deras dari luar ketak penalti.
Penjaring terbanyak Liga Super 2020 dan 2021 itu terus bertindak cemerlang apabila mencipta hatrik selepas menyumbat dua lagi gol pada minit ke-32 dan 40.
Kegembiraan Olusegun bagaimanapun bertukar mimpi ngeri apabila dia dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak pertama oleh pengadil, Muhammad Munir Mohd Izam.
Layangan kad merah dilakukan Muhammad Munir selepas menyemak video bantuan pengadil (VAR) yang menyaksikan penyerang berusia 33 tahun itu memijak kaki pertahanan lawan.
Meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, namun ia seakan tidak memberi kesan besar buat PDRM apabila berjaya menambah gol keempat menerusi Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-66.
Shahrel kemudian melengkapkan kemenangan bergaya The Cops apabila melakukan tindakan susulan selepas rembatan Bruno Suzuki ditampan penjaga gol KDN, Mohammad Fikri Che Soh pada minit ke-71.
sumber:- BH
Kemenangan itu membolehkan PDRM naik ke tangga kelima dengan mengumpul 21 mata selepas 16 perlawanan, manakala KDN yang hanya mengutip tujuh mata kekal di kedudukan kedua tercorot.