Penantian seluruh peminat bola sepak tanah air untuk mengetahui siapa ‘bos’ baharu Harimau Malaya berakhir selepas Peter Cklamovski diumumkan sebagai ketua jurulatih skuad itu.
Sebelum ini, nama pengendali berusia 46 tahun itu sudah dikaitkan sebagai antara calon hangat bagi menggantikan tempat Pau Marti Vicente yang akan meninggalkan Harimau Malaya selepas Piala ASEAN 2024.
Selepas pengumuman rasmi dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini, peminat juga pasti mahu mengetahui lebih terperinci mengenai siapa sebenarnya Cklamovski.
Karier kejurulatihan Cklamovski bermula selepas dia bertindak sebagai penolong jurulatih kelab Greece, Panachaiki pada 2008.Beliau bagaimanapun berperanan sebagai jurulatih kecergasan bersama tiga kelab – Perth Glory, Adelaide United dan Melbourne Victory – dari tahun 2009 hingga 2014.
Selepas itu, beliau memikul tugas penolong jurulatih skuad kebangsaan Australia dari tahun 2014 hingga 2017 di bawah kendalian pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou.
Cklamovski pernah bekerja lebih 15 tahun di bawah Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 2019 ketika mengemudi kelab Jepun, Yokohama F Marinos.
Pengendali kelahiran Sydney, Australia itu kemudian mengembangkan kariernya sebagai ketua jurulatih apabila dilantik sebagai pengurus kelab Liga J1, Shimizu S-Pulse pada 2020.
Pada musim 2021, beliau mengambil cabaran menjadi pengurus kelab Liga J2, Montedio Yamagata dan berjaya menyelamatkan kelab itu daripada zon penyingkiran, seterusnya bangkit layak ke perlawanan ‘playoff’ ke Liga J1.
Selepas itu, Cklamovski dilantik pula sebagai pengurus FC Tokyo pada Jun 2023 dan berjaya memberi impak segera menerusi penerapan identiti bola sepak penuh berinspirasi yang menghasilkan kejayaan serta memberikan keterujaan kepada penyokong.
Beliau hadir ke Malaysia untuk menyediakan satu set staf kejurulatihan yang mantap demi memastikan pemain yang dipanggil ke kem latihan Harimau Malaya diberi tunjuk ajar yang sebaiknya, sekali gus dapat meningkatkan kemampuan dan kemahiran mereka untuk beraksi di perlawanan peringkat antarabangsa.
sumber:- BH
Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia.