sukan

Man United tambah ‘garam’ pada luka Man City

Manchester United menambah derita juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City apabila jaringan lewat permainan Bruno Fernandes dan Amad Diallo memberikan kemenangan 2-1 buat skuad kendalian Ruben Amorim di Etihad.

Pertembungan tetangga Manchester pertama buat Amorim itu kelihatan seperti akan berakhir dengan kemenangan buat City kendalian Pep Guardiola apabila tandukan minit ke-36 Josko Gvardiol meletakkan tuan rumah di depan.

Namun Diallo mencetus kebangkitan United apabila pemain muda Ivory Coast itu mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Fernandes dua minit sebelum tamat permainan.

Diallo sekali lagi mengejutkan City apabila menyambut hantaran jauh dan menewaskan penjaga gol, Ederson dari sudut sukar.City kini tewas lapan daripada 11 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, dengan hanya satu kemenangan direkodkan.

Mereka kekal di tangga kelima Liga Perdana Inggeris pada 27 mata daripada 16 perlawanan, sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan.

United yang melonjak ke tangga ke-12 pada 22 mata untuk seketika, kembali ke tangga ke-13 apabila Tottenham membelasah Southampton 5-0 di St Mary’s.

Fernandes yang terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan sebelum Diallo mendapatkan penalti, memuji persembahan pemain sayap United itu.

“Dia tampil sangat baik, dia melakukan perkara-perkara hebat, saya rasa masih ada banyak lagi yang mampu dia hasilkan. Apabila dia begini, sukar untuk menyekatnya,” kata Fernandes berkenaan persembahan Diallo.

Sementara itu Diallo berkata, keazaman pasukannya untuk memenangi derbi Manchester mencetus kebangkitan United.

sumber:- BH

“Di babak kedua, kami memberikan tekanan, kami mahu menang, ini adalah derbi. Kami membuktikan yang kami mampu memenangi setiap perlawanan dan kami gembira dapat melakukannya hari ini,” kata Diallo. – REUTERS