sukan

Komen Nafuzi selepas dilantik sebagai ketua jurulatih baharu B-23 tarik perhatian

Nama bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air hari ini, selepas beliau diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Pelantikan itu menyaksikan Nafuzi bakal memainkan tugas besar bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 yang berperanan sebagai pembekal bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.

Kredibiliti pengendali berusia 46 tahun juga ditagih dalam usaha memperkasakan semula skuad B-23 negara yang kebelakangan ini kelihatan kurang menyinar di pentas antarabangsa.

Berstatus anak tempatan, nama Nafuzi tidak asing lagi dalam kancah bola sepak Malaysia kerana selain pernah mengecapi beberapa kejayaan sebagai pemain, beliau juga mencipta nama sebagai jurulatih selepas mengendalikan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) terutama pasukan bawah umur.

Rekod dan pengalaman Nafuzi dalam mengendalikan pasukan bawah umur tidak boleh dinafikan apabila beliau berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Presiden sebanyak tiga kali iaitu sebagai penolong ketua jurulatih pada 2011 dan 2013 serta sebagai ketua jurulatih pada 2015.

Beliau kemudian menjadi ketua jurulatih skuad Piala Presiden T-Team FC serta muncul naib juara pada 2016 dan kemudian dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Terengganu FC pada 2017 hingga 2019.

Nafuzi kemudian mengembangkan kariernya apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Terengganu FC pada 2020 hingga 2022 dengan kejayaan meraih tempat ketiga Liga Super 2020 serta naib juara Liga Super 2022 dan Piala FA 2022, selain layak ke Piala AFC.

Selepas bergelar Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2022, Nafuzi berhijrah untuk menjadi ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2023 dan 2024.

Pengendali dari Kelantan itu bagaimanapun berdepan situasi sukar apabila KDA berdepan isu kewangan dan tunggakan gaji yang menyaksikan pasukannya bergelut untuk menampilkan prestasi terbaik dalam Liga M musim ini.

sumber:- BH

Bakal memulakan tugas secara rasmi pada 1 Januari depan, tugasan penting Nafuzi bersama skuad B-23 kebangsaan adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.