“Bola sepak adalah bola sepak, kadangkala ia boleh menjadi kejam. Kita perlu menerimanya dan membuktikan kita mampu bangkit semula,” itu kata-kata pernah dituturkan pengurus legenda Arsenal, Arsene Wenger.
Kata-kata ini begitu tepat untuk menggambarkan senario yang dialami skuad Harimau Malaya selepas tewas tipis 0-1 di tangan juara bertahan, Thailand pada aksi ketiga Kumpulan A Piala AFF 2024 di Stadium Rajamangala, semalam.
Skuad bimbingan Pau Marti Vicente tampak sekurang-kurangnya mampu membawa pulang satu mata sehinggalah ‘tragedi’ Haziq Nadzli pada minit ke-57 membolehkan tuan rumah meledak gol kemenangan menerusi Patrik Gustavsson.
Inilah dia ‘kekejaman’ dalam bola sepak yang sangat tidak adil – pada hari anda beraksi buruk tetapi anda tetap menang seperti ketika berdepan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Rabu lalu.
Namun ada masanya ketika anda beraksi dengan baik seperti menentang Thailand, kemenangan yang diharapkan tidak kunjung tiba sebaliknya ‘khabar ngeri’ datang menyapa.
Keputusan ini jelas mengubah laluan buat skuad negara dalam misi mencari slot ke separuh akhir Piala AFF 2024 apabila mereka kini berpotensi tersekat di peringkat kumpulan.
Sebagai rekod sejak Piala AFF diperkenalkan bermula 1996, skuad negara hanya gagal melepasi peringkat kumpulan di Piala AFF dalam empat edisi iaitu 1998 (satu mata), 2008 dan 2016 (tiga mata) dan 2020 (enam mata).
Peluang skuad negara untuk membolosi empat terbaik masih ada tetapi masa depan mereka terletak di tangan pasukan lain – mengharapkan ihsan pasukan lain ini sememangnya memberi penamat yang sukar dijangkakan.
Justeru, cerita Malaysia untuk layak ke separuh akhir Piala AFF 2024 membabitkan dua bahagian – ‘Bahagian Satu’ membabitkan aksi Thailand menentang Singapura dan ‘Bahagian Dua’ adalah pertembungan Malaysia dengan Singapura untuk ‘Derbi Seberang Tambak’.
Thailand akan berdepan Singapura terlebih dahulu di Stadium Nasional, jadi Malaysia perlu mengharapkan ‘bantuan’ Thailand untuk menewaskan Singapura bagi memastikan ‘Bahagian Satu’ dapat disiapkan bagi meneruskan ‘Bahagian Dua’.
Jika Thailand dapat menewaskan Singapura di Stadium Nasional, Malaysia perlu menyelesaikan ‘Bahagian Dua’ dengan sendiri di mana mereka harus menewaskan Singapura pada aksi di laman sendiri, Jumaat ini.
Sekiranya Singapura berjaya mengikat Thailand, kerja Malaysia lebih berat memandangkan mereka perlu meraih kemenangan besar ke atas Singapura bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir Piala AFF 2024.
sumber:- BH
Apapun, peluang masih ada dan pemain negara jangan berputus asa, ada lagi 90 minit untuk diharungi di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.