Ada apa pada 15 Disember 2024?
Kemaskini Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang memuatnaik hantaran dengan tarikh 15 Disember 2024 sebelum ini jelas mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Selepas menunggu hampir tiga bulan, hari yang dinanti-nantikan itu akhirnya tiba hari ini dengan rata-rata penyokong bola sepak tempatan menyifatkan ia sebagai ‘hari revolusi bola sepak’ negara.
Pada hari ini, mungkin segala persoalan dan tanda tanya yang tercetus susulan hantaran Tunku Mahkota Ismail itu bakal terjawab dengan spekulasi hangat adalah membabitkan penstrukturan semula organisasi bola sepak tempatan.
Sekitar perjalanan menuju ke 15 Disember, tiada lagi bukti konkrit ataupun apa-apa pengesahan daripada mana-mana pihak mengenai apa sebenarnya yang bakal berlaku pada 15 Disember ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman sebelum ini dilaporkan berkata penubuhan unit khas membabitkan skuad kebangsaan itu dijangka akan diumumkan pada bulan ini.
“Ia (unit khas) akan diumumkan kemudian pada Disember. Tunggu, (siapa yang akan ketuai unit khas) akan diumumkan. Jurulatih tidak ada (perubahan), ini untuk struktur saja.
“Setakat ini ada pasukan senior dan Bawah 23 Tahun (B-23), kemungkinan ada B-19, apa pun itu semua nanti akan diumumkan,” katanya.
Bagaimanapun, Tunku Mahkota Ismail bijak ‘mengusik’ penyokong bola sepak tempatan dengan beberapa ‘klu’ menerusi laman sosialnya seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.
Antara petandanya adalah mengenai perubahan besar-besaran dalam sistem pengurusan skuad Harimau Malaya selepas Tunku Mahkota Ismail berkongsi struktur baru yang akan digunakan dalam masa terdekat.
Menerusi satu perkongsian di laman sosial milik bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu sebelum ini, terdapat susun atur penyusunan setiap bahagian membabitkan skuad kebangsaan.
Ada kemungkinan selepas ini skuad negara akan mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang sebenarnya satu jawatan tidak pernah diwujudkan oleh mana-mana pasukan di seluruh dunia, di mana secara normal sesebuah pasukan kebangsaan diketuai sepenuhnya oleh presiden badan induk.
Perkongsian itu turut memaparkan carta organisasi beberapa posisi lain seperti Penasihat Sukan, Pengarah Teknikal, Ketua Jurulatih dan lain-lain.
Ketika ini, beberapa nama dikaitkan untuk mengisi ‘kerusi panas’ selaku jurulatih skuad Harimau Malaya antaranya pengendali kelab Yokohama F Marinos, John Hutchinson; bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari; Arthur Papas dan Peter Cklamovski.
sumber:- BH
Bekas pengendali Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain pula dikhabarkan akan menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.