sukan

TFC bawa pulang bekalan selesa

Safawi Rasid dan Nelson Bonilla meledak gol membantu Terengganu FC (TFC) meraih kelebihan pada suku akhir pertama Piala Malaysia selepas menundukkan Negeri Sembilan FC yang beraksi 10 pemain 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang tadi.

Safawi meletakkan pelawat di depan pada minit ke-19 apabila dia bijak mengawal bola dalam kotak penalti sebelum memperdayakan pemain pertahanan tuan rumah dan penjaga gol.

Negeri Sembilan beraksi 10 pemain apabila Aliyu Abu Bakar dilayangkan kad merah pada minit ke-78, selepas dia mengasari pemain gantian, Nor Hakim Hassan.

Kesilapan pemain tuan rumah berterusan apabila penjaga gol mereka Muhammad Aqil Abdul Razak menjatuhkan Bonilla lima minit sebelum tamat.

Bonilla tidak berdepan masalah untuk menewaskan Aqil menerusi sepakan penalti untuk membawa bekalan dua gol ke Kuala Terengganu.

Ia kekalahan kedua dialami skuad Hobin Jang Hobin dalam tempoh lima hari selepas kecundang di tangan Selangor FC 4-0 pada aksi Liga Super di gelanggang sama, Isnin lalu.

sumber:- BH

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 Disember ini.