Wong Tat Meng memuji peningkatan prestasi ditunjukkan anak buahnya, Lee Zii Jia pada Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, meskipun pemain perseorangan lelaki profesional negara itu tidak berjaya mara ke separuh akhir akibat kecederaan.
Aksi menentang pemain nombor enam dunia, Li Shi Feng dalam aksi terakhir Kumpulan A, semalam menjadi episod duka buat Zii Jia apabila kecederaan buku lali kanan memaksanya menarik diri ketika mendahului 15-11 pada set kedua selepas menang 22-20 pada set pertama.
Kecederaan itu menamatkan kempen Zii Jia, yang sebelum ini tampil cemerlang dengan kemenangan straight set ke atas Anders Antonsen dan Chou Tien Chen di peringkat kumpulan.
Tat Meng yang memulakan tugas sebagai jurulatih Zii Jia pada Julai 2023 menyifatkan anak buahnya itu telah menunjukkan perkembangan yang positif sepanjang di bawah bimbingannya.
“Zii Jia bermain badminton terbaiknya di Jelajah Dunia Akhir kali ini sebelum kecederaan berlaku. Walaupun kejadian ini tidak dijangka, pengalaman yang diperoleh daripada perlawanan-perlawanan ini sangat berharga.
“Perlawanan ini membuktikan peningkatan luar biasa dari segi teknik, mentaliti, keyakinan, dan ketabahan Zii Jia.”Seorang pemain badminton perlu melalui pelbagai cabaran, tetapi pengalaman ini akan menguatkan semangat juang dan keyakinan dirinya,” kata Tat Meng menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, hari ini.
Tat Meng turut teruja melihat semangat Zii Jia ketika menentang Shi Feng dan berharap pemain itu terus bangkit dengan lebih kuat.
“Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk membuktikan kemampuan sebagai jurulatih. Teruskan perjuangan, dan saya percaya anda mampu mencipta lebih banyak kejayaan di masa depan,” katanya.
sumber:- BH
Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 adalah tugasan terakhir Tat Meng bersama Zii Jia, selepas membimbing pemain itu meraih tiga gelaran Jelajah Dunia – Terbuka Artik 2023, Terbuka Thailand 2024 dan Terbuka Australia 2024 – selain pingat gangsa Olimpik Paris 2024.