sukan

‘Senjata tambahan’ untuk berdepan Thailand

Menjelang pertembungan Piala ASEAN di Stadium Rajamangala malam esok, Thailand jelas memiliki segala kelebihan berbanding Malaysia.

Turun dengan status sebagai juara bertahan berbekalkan kemenangan besar 10-0 ke atas Timor Leste dan beraksi di laman sendiri, segala-galanya sudah berpihak kepada skuad Gajah Perang untuk meraih mata penuh.

Namun di sebalik ‘fakta di atas kertas’, skuad Harimau Malaya juga bukanlah calang-calang apabila membuktikan betapa mereka mampu menjadi ‘Raja Kebangkitan’ pada kempen kali ini.

Mana tidaknya, aksi ‘barisan alternatif’ ini acap kali membuatkan jantung penyokong ‘gugur’ terutamanya apabila membenarkan pasukan lawan iaitu Kemboja dan Timor Leste mendahului terlebih dahulu dalam dua perlawanan sebelum ini.

Di sinilah mereka memperagakan semangat tidak mudah menyerah di mana mereka enggan mengibar bendera putih sekalipun ketinggalan dan empat mata berjaya diraih mereka daripada ‘losing position’.

Semangat ini dapat menjadi ‘senjata tambahan’ untuk berdepan Thailand di mana ia sedikit memberi keyakinan bahawa perlawanan tidak akan berakhir selepas Thailand mendahului sekalipun.

Tetapi harus diingat, Thailand bukanlah pasukan ‘anak-anak’ seperti Kemboja mahupun Timor Leste, jadi di sinilah kemampuan skuad negara akan teruji sepenuhnya sama ada mampu bangkit ataupun terus ‘lena’ nanti.

Apa yang dimahukan daripada pemain adalah mereka jangan terlebih dahulu menyerah sebelum perlawanan tamat kerana jika itu yang berlaku, di situlah berakhir segala-galanya.

Kerisauan pasti timbul terutama selepas melihat skuad negara ‘tercungap-cungap’ untuk menewaskan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sedangkan Thailand bersenang-lenang membelasah lawan itu 10-0.

sumber:- BH

Sejauh manakah kemampuan negara untuk memberi cabaran, mampukah mereka menyaingi Thailand sehingga wisel penamat ataupun Malaysia bakal ‘di Timor Lestekan?’