sukan

FAM letak sasaran ‘gila’

Skuad Harimau Malaya perlu tampil dengan aksi yang lebih mantap dan memukau selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan final Piala ASEAN 2024 sebagai sasaran bagi edisi kali ini.

Ketika ini, skuad bimbingan Pau Marti Vicente sedang mendahului saingan Kumpulan A dengan empat mata selepas dua perlawanan, satu mata mengatasi Thailand yang baru beraksi satu perlawanan dan membelasah Timor Leste 10-0, Ahad lalu.

Thailand yang juga juara bertahan akan meneruskan misi memburu kemenangan kedua apabila melayan kunjungan Malaysia di Stadium Rajamangala, Bangkok malam esok.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengakui badan induk itu semestinya memiliki sasaran tersendiri setiap kali menghantar pasukan menyertai apa-apa kejohanan yang disertai mereka.

Justeru, Noor Azman mengharapkan barisan pemain negara yang dipertaruhkan pada edisi kali ini dapat memperagakan aksi yang terbaik bagi mencapai sasaran yang diletakkan itu.

“Kita ada letak sasaran. Bagi sasaran itu, kita tengok setakat mana dan setinggi kita yang kita boleh pergi tetapi sasaran kita sudah semestinya untuk ke final.

“Tetapi saya yakin dengan kemampuan Pau Marti, dia boleh (bawa pasukan ke final). Dia boleh membimbing dan dia boleh bentuk pasukan yang baik dengan gabungan pemain senior dan pemain muda,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara menjuarai kejohanan itu adalah pada edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K Rajagobal yang menjadi satu-satunya gelaran dimenangi skuad negara bagi kejohanan itu.

Selain edisi 2010, mereka juga berjaya melayakkan diri ke final edisi 1996, 2014 dan 2018 namun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

sumber:- BH

Pada edisi lalu, skuad di bawah bimbingan Kim Pan Gon gagal mara ke final selepas disekat Thailand dengan agregat 1-3.