sukan

Malaysia makin huru-hara, dua pasukan panggil pulang pemain

Bagaimana nasib skuad Harimau Malaya bagi aksi penting menentang juara bertahan Piala AFF, Thailand di Stadium Rajamangala, Sabtu ini?

Ini selepas skuad bimbingan Pau Marti Vicente boleh dianggap ‘tidak cukup sifat’ selepas bakal kehilangan sekurang-kurangnya lapan pemain bagi berhadapan skuad ‘Gajah Perang’ yang turun dengan semangat tinggi selepas membelasah Timor Leste 10-0.

Harimau Malaya sudah kehilangan tiga penyerang susulan kecederaan Syafiq Ahmad, Fergus Tierney dan Darren Lok dengan Vicente pasti ‘pening kepala’ apabila dua pemain Selangor FC (SFC) dan tiga pemain Sabah FC dipanggil pasukan untuk komitmen domestik.

Vicente mengakui situasi terbabit sudah pasti sedikit sebanyak mengganggu fokus pemainnya ketika kelab masih menagih khidmat mereka dan perkara ini bukanlah perkembangan yang baik buat mereka.

“Jujurnya saya tidak tahu (jumlah sebenar pemain untuk ke Thailand), saya rasa sekurang-kurangnya kita kehilangan tiga pemain. Ini situasi yang sukar dengan masalah kecederaan dan juga buat pemain sendiri.

“Bagaimana kami boleh fokus kepada pasukan kebangsaan untuk mengharungi kejohanan apabila kelab meminta mereka untuk kembali ataupun lewat untuk melaporkan diri.

“Ini situasi yang sukar buat pemain tetapi pemain tetap memberikan yang terbaik dalam keadaan ini. Kita perlu melihat kepada realitinya kerana ketika ini, kita ada dua lagi perlawanan dan kita mendahului saingan dengan empat mata.

“Kita ada peluang untuk pergi sejauh mungkin. Ini bukan situasi yang baik untuk kita. Tetapi siapa sahaja yang dibawa ke Thailand, saya yakin mereka akan lakukan yang terbaik,” kata Vicente.

Dalam perkembangan sama, pengendali dari Sepanyol itu juga tidak mahu membandingkan perlawanan menentang Timor Leste dengan aksi berdepan Thailand yang bakal diharungi mereka selepas ini.

“Saya rasa anda tidak boleh membuat perbandingan kerana ini dua perlawanan yang berbeza. Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah memastikan pemain dapat pulih secara fizikal dan mental.

sumber:- BH

“Kita mengharungi minggu yang sukar sebab perlu terbang untuk mengharungi perlawanan ke perlawanan. Kita perlu kekal bersatu dan bersedia untuk menentang Thailand,” katanya.