Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan pihaknya akan merangka satu kod baharu berkaitan etika pemakaian atlet termasuklah membabitkan penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian mereka.
Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan insiden sama berulang membabitkan penggunaan Jalur Gemilang termasuk yang terbaharu membabitkan pemain badminton perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia, semalam.
Katanya, beliau akan meminta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melihat apa yang boleh dilakukan termasuklah dalam menentukan sebarang tindakan untuk kesalahan berkenaan.
“Setakat ini kita tidak ada kod atau tatatertib yang kita boleh pakai berkenaan isu itu.”Saya akan minta MSN lihat apa yang kita boleh dilakukan untuk pastikan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Simposium Sukan Selamat Antarabangsa di sini hari ini.
BH Sukan semalam melaporkan kemenangan Zii Jia dalam perlawanan pertama Jelajah Dunia Akhir BWF dibayangi kontroversi apabila dia memakai baju yang memaparkan bendera Malaysia secara terbalik.
Dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen itu, dapat dilihat dengan jelas di kaca televisyen Jalur Gemilang yang ditampal di bahagian kiri baju pemain di ranking lapan dunia itu ditampal dalam keadaan terbalik.
Susulan insiden itu, penaja jersi pemain berkenaan, Victor Malaysia mengeluarkan permohonan maaf dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kesilapan itu tidak berulang.
Dalam pada itu, Hannah turut menggesa supaya setiap atlet dan pengurus pasukan mereka untuk sentiasa peka berhubung perkara itu kerana isu-isu kesalahan membabitkan penggunaan Jalur Gemilang tidak seharusnya berlaku memandangkan ia adalah maruah negara.
“Saya nak minta semua atlet dan juga pengurus setiap pasukan itu termasuklah yang bergerak sendiri atau pasukan kebangsaan pastikan cek betul-betul jersi dan pastikan semua teratur sebelum mereka keluar ke gelanggang.
sumber:- BH
“Ini kerana bila mereka beraksi di atas gelanggang ia akan disiarkan kepada penonton dalam dan luar negara,” katanya.