sukan

Harimau Malaya kena boo

Suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar panas apabila pemain skuad Harimau Malaya diboo penyokong sendiri selepas mempamerkan aksi hambar pada separuh masa pertama sehingga ketinggalan 1-2 kepada Timor Leste dalam perlawanan Kumpulan A Piala Asean, semalam.

Bagaimanapun, anak buah Pau Marti Vicente menegaskan mereka menerima kritikan itu sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasi.

Menurut pertahanan kiri negara, Daniel Ting pada mulanya mereka bermula dengan baik apabila mendahului 1-0, namun hilang fokus selepas itu.

“Saya rasa itu adalah panggilan kesedaran yang kami perlukan. Yang paling penting, kami berjaya tamatkan perlawanan dengan 3 mata penuh,” katanya selepas tamat perlawanan.

Ketika ditanya sama ada mereka memandang rendah keupayaan pasukan lawan, Daniel menafikan dakwaan berkenaan.”Dalam bola sepak antarabangsa, tiada perlawanan yang mudah. Kami menghormati setiap pasukan dalam kejohanan ini. Mereka ada di sini atas merit mereka sendiri,” tambahnya.

Dia berkata tindakan penyokong mengejek dan mengherdik sebaik tamat aksi separuh masa pertama dianggap sebagai realiti dalam bola sepak yang sukar dielakkan.

“Apabila berada dalam keadaan baik, pujian akan datang. Tetapi bila keadaan tidak memihak kepada kami, kritikan akan muncul. Kami perlu jadikan ia motivasi supaya penyokong tiada sebab untuk mengejak kami lagi selepas ini,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Sabah memanggilnya pulang untuk perlawanan domestik dia menyatakan hasrat untuk bermain untuk kedua-dua pasukan.

“Kalau boleh, saya mahu main untuk kedua-duanya. Tapi ini adalah isu antara FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan Sabah,” jelasnya.

Malaysia kini bersedia untuk menghadapi Thailand, yang sebelum ini memenangi perlawanan dengan margin besar 10-0 menentang Timor Leste.

“Thailand pasukan yang kuat, tetapi kami perlu fokus sepenuhnya dan tidak memikirkan keputusan perlawanan lain. Jika kami beri segala-galanya, kami mampu mendapatkan sesuatu daripada perlawanan itu,” katanya.

Daniel yang sudah beraksi 13 kali bersama Harimau Malaya juga mengakui masih meletakkan harapan untuk membantu pasukan layak ke separuh akhir.

sumber:- HM

“Itulah matlamat kami. Kami sentiasa yakin bahawa kami boleh mara ke pusingan seterusnya,” kata pemain kelahiran Cheshire, England itu.