Ketua jurulatih Timor Leste, Simon Elissetche boleh dikatakan agak terkejut apabila barisan anak buahnya mempamerkan aksi luar biasa hingga hampir menundukkan antara pasukan yang hebat di Asia Tenggara.
Elissetche berkata, kekalahan 0-10 kepada Thailand tempoh hari menyuntik semangat kepada pemain untuk bangkit mencatatkan keputusan positif pada aksi menentang Malaysia malam ini.
Beliau berkata, walaupun tidak gembira dengan keputusan apabila gagal membawa pulang tiga mata namun secara keseluruhan berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan Timor Leste.
“Pemain beraksi dengan penuh tumpuan malam ini dan faktor kekuatan mental membantu mereka untuk beraksi baik.”Sebelum ini, kami kehilangan pemain terbaik ketika bertemu Thailand dan itu menjejaskan moral pemain hingga tewas 0-10.
“Malam ini, mereka hampir menang namun ada sedikit kesilapan menyebabkan lawan menjaringkan gol. Saya terkejut dan gembira prestasi pemain,” katanya, dalam sidang media selepas tamat perlawanan membabitkan Malaysia bertemu Timor Leste.
Sebelum itu, Harimau Malaya hampir dimalukan Timor Leste apabila terpaksa bermandi peluh sebelum mencatatkan kemenangan tipis 3-2 pada aksi kedua kumpulan A Piala Asean 2024.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu menyaksikan skuad bimbingan Pau Marti Vicente diberikan tentangan sengit sebelum membawa pulang tiga mata penting.
Malah,Harimau Malaya seharusnya mengucapkan terima kasih kepada Paulo Josue apabila menyelamatkan maruah dengan menjaringkan dua gol manakala satu lagi disumbangkan Syafiq Ahmad.
sumber:- HM
Jaringan pasukan pelawat pula disumbangkan Olagar Xavier dan Joao Pedro.Malaysia kini mengumpul empat mata selepas seri 2-2 bertemu Kemboja manakala menang ke atas Timor Leste.