Tempoh dua hari menjadi detik penting buat Harimau Malaya melakukan persiapan rapi menjelang aksi kedua saingan Piala ASEAN 2024 menentang pasukan ranking ke-196 dunia, Timor Leste Rabu ini.
Bakal beraksi di gelanggang keramat, Stadium Nasional, Bukit Jalil, skuad kendalian Pau Marti Vicente wajib meraih kemenangan untuk membuka peluang lebih cerah ke pusingan separuh akhir.
Meskipun semua kelebihan tampak memihak kepada Harimau Malaya, banyak perkara yang perlu diperbaiki segera skuad negara berdasarkan apa yang ditampilkan mereka ketika menentang Kemboja, semalam.
Harimau Malaya yang berada di ranking 132 dunia hampir dimalukan pasukan tangga 180 dunia itu apabila terikat 2-2 dalam aksi sulung Kumpulan A di Stadium Olimpik, Phnom Penh.
Sebenarnya ramai sudah menjangkakan skuad negara akan bergelut dalam saingan Piala ASEAN susulan ketiadaan ramai pemain bintang dalam skuad Vicente.
Namun, Harimau Malaya mampu tampil lebih baik sekiranya beberapa aspek dapat diperbaiki terutama dalam mencorakkan permainan lebih kreatif atau teratur untuk mencipta peluang selain jentera serangan harus bertindak lebih tajam dalam melakukan penyudah.
Mengelak daripada melakukan kesilapan mudah juga menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pemain negara seperti nasib yang menimpa Jimmy Raymond apabila kesilapannya pada minit ke-52 menyumbang gol penyamaan Kemboja.
Pemain tengah skuad kebangsaan, Stuart Wilkin turut mengakui bahawa masih banyak yang Harimau Malaya kena perbaiki untuk meraih keputusan lebih baik dalam perlawanan akan datang.
“Kami datang (ke Kemboja) untuk menang tetapi kami gagal mencapainya. Sekurang-kurangnya kami tidak kalah dan sudah pasti ia satu mata penting, namun masih banyak yang perlu diperbaiki,” kata Wilkin selepas perlawanan.
Selain itu, Vicente menjelaskan keberkesanan pasukannya menghadapi situasi bola mati perlu diperbaiki apabila bolos dengan sepakan sudut buat kali kedua berturut-turut termasuk ketika menentang India, 18 November lalu.
Lupakan Kemboja, perkara paling penting ketika ini adalah mengenai apa yang Vicente dan pasukannya boleh lakukan terutama dalam membentuk ramuan lebih baik bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
sumber:- BH
Penambahbaikan yang harus dilakukan itu bukan sahaja untuk berdepan Timor Leste tetapi juga bagi menghadapi lawan lebih sukar menentang juara bertahan, Thailand di Bangkok, Sabtu ini dan berdepan Singapura di Bukit Jalil (20 Disember).