sukan

Bergson bakal perkuat Harimau Malaya sebagai langkah jangka pendek

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan dua bintang import Liga Malaysia (Liga M), Bergson Da Silva dan Manuel Hidalgo bakal menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Da Silva yang juga mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melengkapkan syarat mendapat status naturalisasi iaitu beraksi lima tahun di Malaysia selepas menyertai Harimau Selatan sejak 2021.

Hidalgo, pemain JDT yang dipinjamkan ke Sri Pahang turut akan memenuhi syarat berkenaan dengan dia juga bermain dalam Liga M sejak 2021 ketika menyertai skuad Tok Gajah.

“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai langkah jangka pendek selepas lengkap lima tahun (beraksi) di Malaysia, Hidalgo juga untuk jangka panjang dan dengan pemain lain yang ada.

“Pemain JDT semua bersedia. Jurulatih baru dan pengarah sukan sedang mengumpul data pemain Malaysia dalam Liga Super dan yang berada di luar negara.

“Ia bukan mudah, perlukan masa, namun ia bermula sekarang termasuk rangka kerja pembangunan untuk jangka panjang,” tulis Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT di laman X.

Berdasarkan kenyataan Tunku Mahkota Ismail, Harimau Malaya seakan sudah ada jurulatih baharu dan hanya menunggu masa untuk diumumkan bersama struktur baharu pengurusan skuad kebangsaan.

Jurulatih baharu Harimau Malaya dikatakan bukan nama besar tetapi memiliki pengalaman luas mengenai bola sepak Asia menerusi pencapaian di pentas antarabangsa dan domestik.

sumber:- BH

Tunku Mahkota Ismail dikatakan akan mengetuai projek revolusi Harimau Malaya dengan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebelum ini memaklumkan struktur baharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat.