sukan

Arif Aiman dilabel sangat luar biasa

Kelibat Pemain Paling Bernilai (MVP) 2023, Arif Aiman Hanapi mendapat pujian daripada pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio yang menyifatkan pemain itu sebagai luar biasa.

Apa tidaknya, apabila Arif Aiman muncul wira buat JDT selepas meledak hatrik untuk memastikan kemenangan 3-0 menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Bintang JDT itu mengambil masa 42 minit untuk melengkapkan jaringan hatrik pada perlawanan itu selepas memulakan sentuhan penyudah pada minit ke-12 disusuli pada minit ke-35 dan menerusi sepakan penalti kemudiannya bagi menghadiahkan tiga mata buat penyandang juara Liga Super berkenaan.

“Pada malam ini (malam tadi) dia (Arif Aiman) bermain sangat luar biasa bukan kerana dia menjaringkan hatrik, malah bermain secara berpasukan selain turut membantu ketika bertahan.

“Saya gembira melihatnya bermain dengan sangat bagus, ini kerana saya tahu bagaimana dia bekerja keras setiap hari bagi meningkatkan mutu permainannya. Tidak dinafikan dia adalah pemain terbaik,” ujarnya.

Menurut pengendali kelahiran Argentina itu, bukan sahaja Arif Aiman malah keseluruhan pasukan juga melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat.

Jelasnya, kejayaan itu bukanlah mudah apabila pasukan lawan bermain di posisi pertahanan mereka dan kompak hingga menutup ruang buat pasukan untuk mencipta peluang gol pada babak pertama.

“Situasi sama turut berlaku di babak kedua, pergerakan menjadi agak terbatas dan menyukarkan gerakan gol dilakukan. Bagaimanapun, pemain sudah melakukan yang terbaik dan mengekalkan kelebihan jaringan hingga tamat perlawanan.

“Memandangkan kita akan berdepan lawan yang sama selepas ini (aksi Piala Malaysia), ada beberapa aspek yang perlu ditambah baik termasuklah sentuhan penyudah. Setiap peluang itu perlu diterjemahkan sebaiknya, ini antara yang perlu kita perbaiki lagi,” kata Bidoglio.

sumber:- HM

JDT akan bertandang ke Kuala Lumpur bagi aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat ini sebelum melayan kunjungan The City Boys bagi aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, 21 Disember ini.