Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mengakui sudah menjangka Kemboja akan memberi kesukaran untuk pasukannya meraih kemenangan dalam aksi sulung Piala ASEAN 2024.
Skuad Harimau Malaya hampir dimalukan pasukan di ranking 180 dunia itu apabila terikat 2-2 dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Olimpik, Phnom Penh, hari ini.
Mengakui Kemboja memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri dan mendapat sokongan daripada ribuan penyokong, Vicente bagaimanapun enggan mengeluh dengan komitmen yang diberikan barisan pemain Harimau Malaya.
“Perlawanan yang sukar seperti yang kami jangkakan. Perlawanan berintensiti tinggi dan sukar untuk mengawal tempo permainan.”Sukar untuk menang di tempat lawan. Namun kadang-kadang jika anda tidak menang, tapi anda tidak tewas juga menjadi perkara penting,” katanya.
Pada perlawanan itu, Harimau Malaya terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-35 apabila Stuart Wilkin melakukan tandukan terbang untuk menyudahkan hantaran daripada Daniel Ting.
Kemboja bagaimanapun mengejutkan Harimau Malaya apabila bangkit dengan dua gol pada minit ke-52 dan 60 menerusi penyudah Abdel Kader Coulibaly dan Ty Sa.
Pemain gantian, Fergus Tierney menyelamatkan maruah Harimau Malaya yang berada di ranking 132 dunia apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-74, sekali gus membantu skuad negara membawa pulang satu mata.
sumber:- BH
Anak buah Vicente seterusnya akan menentang Timor Leste bagi aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.