sukan

Peluang Selangor jarakkan diri

Selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Selangor kini mengalihkan fokus untuk aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Berada dalam kelompok dua teratas Liga Super menjadi buruan Selangor ketika ini dalam usaha mereka mendapat tiket untuk bersaing dalam pertandingan peringkat Asia musim depan.

Gergasi Merah perlu meraih keputusan positif berdepan Negeri Sembilan untuk kembali merampas kedudukan kedua dari Sabah dengan kedua-dua pasukan itu sekarang ini terikat 29 mata.

Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi kini hanya berdepan saingan Liga Super dan Piala Cabaran selepas turut tersingkir daripada Piala Malaysia apabila tewas dengan agregat 2-3 kepada Sri Pahang di pusingan 16.

Situasi itu menyaksikan naib juara Piala FA 2024-25 itu berdepan situasi yang amat sukar untuk menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa trofi utama selepas kali terakhir mengecapi kejuaraan ketika menjulang Piala Malaysia pada 2015.

Ia berdasarkan situasi semasa dengan Selangor ketinggalan 11 mata (tidak termasuk aksi malam ini) di belakang pendahulu yang juga juara bertahan 10 tahun berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super.

Gergasi Merah mungkin hanya boleh mengharapkan untuk menjulang trofi Piala Cabaran sebagai pengubat duka dengan semua pasukan yang tersingkir daripada Piala Malaysia akan bersaing dalam kejohanan itu.

Kinoshi yang baru tiga perlawanan mengemudi Selangor turut menjelaskan pasukannya akan memberi fokus kepada saingan Liga Super dan Piala Cabaran.

“Kami beraksi dengan baik menentang Cebu FC, malangnya kami tidak layak (ke pusingan 16 ACL2). Namun kami sekarang perlu memberi fokus kepada aksi seterusnya dalam liga dan saingan piala.

sumber:- BH

“Saya memaklumkan kepada pemain untuk sentiasa bermotivasi tinggi bagi mengharungi perlawanan seterusnya tidak kira apa situasi yang kami hadapi,” katanya.