sukan

‘Tetamu tidak diundang’ ganggu sesi latihan Malaysia

Kehadiran ‘tetamu tidak diundang’ dalam latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh semalam nyata tidak disenangi pengendali skuad negara, Pau Marti Vicente.

Dalam sidang media pra perlawanan hari ini, Vicente akui beliau dan barisan kejurulatihan terkejut apabila melihat dron berada di sekitar perkarangan venue latihan pasukan negara yang sememangnya mengganggu persiapan anak buahnya.

Jelas Vicente, beliau terpaksa menunggu dron itu beredar sebelum boleh memulakan latihan kerana dibimbangi strategi dan taktikal pasukan dikesan pihak lawan.

“Sudah tentu kita ada dron sebelum sesi (latihan) kita. Kita hanya kena pastikan dron itu sudah tidak ada lagi. Ia mungkin kebetulan atau tidak, saya tak tahu.

“Pada saya, itu mungkin bukan daripada mereka. Jika tidak, ia pasti ada sesuatu tetapi kita teruskan sesi (latihan) kita.”Apa yang paling penting ialah apa yang kita lakukan dan bukannya apa pihak lawan lakukan,” katanya dalam sidang media itu.

Skuad Harimau Malaya bakal turun dalam aksi pertama Kumpulan A Piala Asean menentang Kemboja di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, malam esok.

Menerusi rekod pertemuan, skuad negara dilihat tidak berdepan banyak masalah untuk menuai tiga mata pertama di tempat lawan itu.

Dalam 18 kali pertembungan, Malaysia menang 15 kali dan hanya tewas sebanyak dua kali sejak kali pertama bertemu di pentas antarabangsa pada 1956.

sumber:- HM

Malah, kedudukan ranking Fifa juga menyaksikan skuad negara meninggalkan jauh skuad Angkor Warriors itu di mana Malaysia menghuni tangga 132 manakala Kemboja di kedudukan 180 dunia.