Hanya mampu meraih satu mata bukanlah sasaran utama Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas diikat seri 0-0 oleh kelab dari Thailand, Buriram United FC pada aksi Kumpulan Zon Timur saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Lebih parah apabila JDT yang perlu mengharungi dua lagi baki perlawanan menentang kelab dari Australia, Central Coast Mariners pada 11 Februari tahun depan dan kelab dari Korea Selatan, Pohang Steelers, 18 Februari tanpa kelibat dua tonggak utama, Murilo Henrique dan Park Jun-heong selepas kedua-dua pemain itu menerima kad merah.
Senario itu pasti menjejaskan perancangan pengendali JDT, Hector Bidoglio bagi memantapkan lagi kesebelasan utama dalam misi layak ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam saingan elit Asia itu ketika turut kehilangan Juan Muniz yang digantung satu perlawanan.
Namun pengendali kelahiran Argentina tidak panik dengan senario yang berlaku dalam skuad Harimau Selatan, sebaliknya optimis mampu menyaingi baki dua perlawanan itu yang dianggap misi hidup dan mati bagi memburu slot ke peringkat seterusnya.
“Memang terasa apabila kehilangan Murillo, Muniz dan Park untuk aksi seterusnya tapi kami perlu teruskan perjuangan dan kami dibarisi pemain yang baik malah pemain lain bersedia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh tiga pemain itu. Tidak ada masalah untuk saya merancang bagi aksi seterusnya,” katanya.
Mengulas mengenai aksi menentang skuad kendalian Osmar Loss yang berkesudahan seri tanpa jaringan, Bidoglio tetap bangga dengan prestasi dipamerkan pemainnya biarpun terpaksa mengharungi hampir 80 minit permainan dengan 10 pemain sebelum Jun-heong dibuang padang ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan.
“Sasaran saya dalam perlawanan itu adalah tiga mata tapi apakan daya kita gagal untuk menang dan amat mendukakan namun bagi saya, kesemua pemain telah beraksi dengan baik, mereka berhasil menyerang, bertahan dan mengawal permainan dengan baik.
“Bukan mudah sebenarnya untuk beraksi di peringkat ini (ACLE), namun kesemua pemain telah membuktikan mereka beraksi sebagai satu pasukan malah kerap beri tekanan kepada pasukan lawan tapi itulah bola sepak apabila gagal menemui sentuhan penyudah.
“Apa pun, saya tetap berbangga dengan aksi dipamerkan pemain kerana mereka berjaya menyerap tekanan pasukan lawan dalam tempoh 25 minit permainan ketika kami bermain dengan 10 pemain selain pemain juga mampu mengawal bola dengan baik,” kata Bidoglio pada sidang media sejurus tamat perlawanan.
Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu berdepan laluan getir bagi mengesahkan slot ke pusingan seterusnya apabila berada di kedudukan keenam dengan mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan dan dua keputusan seri dan harus menang baki dua perlawanan nanti.
Sementara itu, tonggak pertahanan skuad Harimau Selatan, Eddy Israfilov yang turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan menegaskan kesemua pemain telah memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan.
“Kami bermula dengan baik di awal permainan tapi apabila memasuki minit ke-12, kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain, apatah lagi berdepan dengan sebuah pasukan yang berkualiti seperti Buriram Unitef.
“Pada penghujung babak pertama, pasukan lawan pula hilang seorang pemain dan bermulanya aksi babak kedua, kembali seimbang dan kami mengawal permainan, hanya gagal menjaringkan gol sahaja dan saya akui aksi malam ini (malam tadi) cukup mencabar buat kami.
sumber:- HM
“Ada baki dua perlawanan lagi dan kami tidak boleh keciciran mata, walaupun sedar ia perlawanan sukat yang bakal kami hadapi namun kami tiada pilihan dan perlu bangkit untuk kembali menemui sentuhan kemenangan,” kata Israfilov