sukan

Wan Arif cipta sejarah di bumi China

Pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi mencuri tumpuan apabila merekodkan smash terlaju di kejohanan Masters China, Shenzhen dengan kelajuan 483.1 kilometer per jam (km/j).

Menariknya, catatan yang dibuat bukan saja paling laju untuk acara beregu lelaki, tetapi smash terlaju di kejohanan berstatus Super 750 BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu, minggu lalu dan turut dikongsikan di laman sosial rasmi badan induk berkenaan, semalam.

Mengulang siar hantaran berkenaan, Wan Arif seperti tidak percaya dengan apa yang dilakukan malah turut berjenaka apabila berkata; “Mesin rosak rasanya ni.”

Begitupun di Shenzhen, langkah pemain berusia 22 tahun itu bersama pasangannya, Yap Roy King tidak jauh apabila berakhir di pusingan kedua selepas tewas kepada pilihan ketiga kejohanan dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Selain Wan Arif yang ketika ini mengisi ranking ke-22 dunia, melakukan smash kedua terlaju di Masters China adalah pemain perseorangan Perancis, Alex Lanier dengan 478 km/j.

Pemain negara yang turut berada dalam senarai smash terlaju di kejohanan yang membabitkan pemain-pemain terbaik dunia itu adalah Choong Hon Jian (440km/j), Lee Zii Jia (437.5km/j), Man Wei Chong (425.4km/j), Hoo Pang Ron (398km/j) dan Pearly Tan (356.5km/j).

sumber:- BH

Rekod dunia bagi smash paling laju adalah milik pemain India, Satwiksairaj Rankireddy yang melakukan pukulan 565km/j. Sementara bagi pemain wanita, ia milik pemain beregu negara, Pearly Tan yang melakukan pukulan 438km/j.