sukan

JDT bagaikan ‘mengamuk’

ohor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke suku akhir selepas menang dengan agregat 9-0 apabila mudah membelasah Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 6-0 dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, petang tadi.

JDT selaku penyandang juara piala berprestij itu menanti sama ada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) atau Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Sebaik perlawanan bermula, JDT bagaikan memberi amaran awal apabila hampir mencetus jaringan seawal minit ketiga selepas bola lorongan Jese Rodriguez tepat kepada Corbin Ong namun bola sepakannya gagal menembusi gawang gol ketika penjaga gol, Ahmad Asyraaf Omar sudah tertewas.

Asakan bertali arus skuad Harimau Selatan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-13 selepas bola sepakan lintang Rodrigeuz menyaksikan pemain pertahanan KL Rovers, Mohammad Raffi Nagoorghani tertampan ke gawang sendiri.

JDT nyaris dimalukan KL Rovers pada minit ke-19 selepas kesilapan yang dilakukan pemain muda JDT, Danish Hakimi Sahaludin memberi ruang buat Faiz Mazlan merembat bola kencang namun penjaga gol, Christian Abad Amat berjaya menghalang bola daripada dibolosi.

Anak didik Hector Bidoglio menambah derita skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail selepas menambah jaringan pada minit ke-32 berpunca daripada bola sepakan lintang Nazmi Faiz Mansor berjaya dikawal Rodriguez yang mengumpan bola ke belakang untuk Corbin merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri menewaskan Ahmad Asyraaf.

Rodriguez yang kerap mendapat peluang mencipta jaringan akhirnya berjaya mencetak nama selaku penjaring selepas gerakan satu dan dua bersama Nazmi Faiz membolehkan bekas pemain Real Madrid itu menjaringkan gol pada minit ke-44 bagi meletak JDT selesa dengan kedudukan 3-0 dan agregat 6-0.

Bersambung babak kedua, pemain gantian Gabriel Nistelrooy yang merupakan penjaring terbanyak Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dengan 15 gol dalam saingan Piala MFL hampir mencipta jaringan selepas menerima bola lorongan Nazmi Faiz namun bola hanya sipi daripada gawang gol ketika Ahmad Asyraaf sudah tertewas.

Kemasukan Bergson da Silva di babak kedua memberi impak buat JDT apabila menjaringan gol keempat pasukan itu selepas menanduk bola hantaran lintang Muhamad Alif Abdul Mutalib pada minit ke-74 menewaskan Ahmad Asyraaf untuk mengukuhkan jaringan Harimau Selatan agregat 7-0.

Bergson mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-81 selepas merembat bola kencang bola hasil sepakan lintang Nazmi Faiz dari posisi sayap kanan untuk meletak JDT dengan agregat 8-0.

sumber:- BH

Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan, pemain gantian Mahammadou Sumareh yang agak lama tidak menjaringkan gol akhirnya menemui sentuhan penyudah selepas menyudahkan bola umpanan Nazmi Faiz untuk melengkap kemenangan 6-0 dalam perlawanan itu dan layak ke suku akhir dengan agregat 9-0 mengatasi KL Rovers.