sukan

ASFC sokong keputusan Selangor

Penyokong bola sepak Selangor FC (SFC) mengalu-alukan langkah untuk mengheret ke mahkamah kes pemain sayap SFC, Faisal Halim yang disimbah asid pada Mei lalu.

Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, keputusan untuk menggunakan saluran undang-undang bagi membela nasib Faisal dianggap tepat selepas tiada perkembangan terkini dilaporkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, tempoh menunggu hampir enam bulan tanpa sebarang laporan didedahkan sememangnya cukup lama dan tidak adil buat Faisal atau Mickey yang menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Ini satu pembelaan buat Faisal. Sudah terlalu lama dan tindakan Kerajaan Negeri Selangor untuk membawa perkara ini dengan guna saluran undang-undang cukup baik.

“Kita sebagai penyokong memberi sokongan sepenuhnya agar pesalah dapat diheret ke mahkamah dan diberi hukuman setimpal.

“Kalau boleh bukan setakat pelaku yang simbah asid, malah heret juga perancang di belakang yang menjadi punca kepada masalah ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Selangor tidak menolak kemungkinan menggunakan saluran undang-undang sekiranya tiada sebarang keputusan daripada siasatan kes serangan asid ke atas Faisal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi berkata, setakat ini pihak SFC sudah melantik peguam untuk terus memantau kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, kes serangan asid ke atas pemain Faisal yang juga pemain skuad Harimau Malaya itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Perkara ini perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa dan kita tidak mahu ada pemain lain pula menjadi mangsa selepas ini.

“Pelaku dan perancang perlu diheret apabila undang-undang negara harus dihormati semua pihak tidak kira pangkat, darjat mahupun keturunan,” kata Faizal lagi.

sumber:- HM

Pada 5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.