Pertukaran tiga jurulatih dengan tiga acuan permainan berbeza langsung tidak memeningkan kepala barisan pemain Selangor FC menjelang aksi penting berdepan Muangthong United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam esok.
Terdahulu, Nidzam Jamil meletakkan jawatan pada bulan lalu sebelum ia diserahkan sementara kepada Abdi Hassan yang memacu pasukan dalam beberapa perlawanan termasuk dalam ACL II menentang Jeonbuk Hyundai awal bulan ini.
Ketika ini, skuad Red Giants sah melantik jurulatih dari Jepun, Katsuhito Kinoshi di mana pengendali berpengalaman itu menerapkan DnA baharu dalam permainan pasukan.
Pemain import Selangor FC, Alvin Fortes berkata, kesemua pemain teruja untuk beraksi di bawah kendalian Kinoshi yang cukup berjaya di Eropah bersama skuad kebangsaan Serbia sebelum ini.
“Sudah tentu semua (pemain) teruja. Saya fikir semuanya (barisan jurulatih) ada kualiti. Kami hanya perlu dengar apa yang jurulatih mahukan.
“Tidak kisah jurulatih yang mana…yang penting kami bermain ikut taktikal dirancang dan jadikan kelab lebih berjaya,” katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium MBPJ, di sini, hari ini.
Untuk rekod, tugas terakhir Kinoshi adalah sebagai penolong jurulatih pasukan kebangsaan Serbia di mana skuad itu berjaya muncul juara Kumpulan 4 UEFA Nations League B 2022/23 selepas menumbangkan Sweden.
Ia sekali gus menyaksikan skuad The Eagles dinaikkan pangkat untuk kini bertanding di saingan UEFA Nations League A bersama Sepanyol, Denmark dan Switzerland.
Antara kejayaan lain adalah membantu Serbia layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar menentang Brazil, Switzerland dan Cameroon.
Mengulas lanjut aksi dengan Muangthong United, Fortes akui hanya buruan tiga mata menjadi fokus pemain yang mahu layak lebih awal ke pusingan berikutnya.
“Saya fikir ia akan jadi perlawanan yang sengit. Kita perlu raih tiga mata di tempat sendiri,” kata pemain lincah yang beraksi di bahagian sayap itu.
Selangor FC sudah mengharungi empat aksi dalam Kumpulan H dan berada di posisi kedua di belakang Jeonbuk Hyundai, dengan masing-masing meraih tujuh dan sembilan mata setakat ini.
sumber:- HM
Manakala Muangthong United pula mengekori rapat dengan lima mata di tempat ketiga, sementara Cebu FC satu mata.