sukan

Selangor FC tidak tolak kemungkinan guna undang-undang

Selangor tidak menolak kemungkinan menggunakan saluran undang-undang sekiranya tiada sebarang keputusan daripada siasatan kes serangan asid ke atas pemain Selangor FC, Faisal Halim.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Najwan Halimi berkata, setakat ini pihak Selangor FC (SFC) sudah melantik peguam untuk terus memantau kes ini.

“Tindakan susulan berkaitan dengan kes terbabit, kita memang serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.”Tetapi, pada masa sama kita tidak tolak keperluan untuk pihak peguam dan pengurusan SFC mengambil tindakan sewajarnya di peringkat lebih tinggi, sekiranya tidak ada apa-apa keputusan daripada siasatan dan hasil siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Usul Bajet Peruntukan Pembangunan 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Kenyataan beliau bagi menjawab soalan Dr Afif Bahardin (PN-Medan) yang membangkitkan sama ada kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya kes terbabit dibiarkan berlarutan.

Pada masa sama, beliau berharap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor memberikan sedikit tekanan kepada pihak berkuasa agar mereka laporkan dan memberi perincian tentang hasil siasatan kes terbabit.

Media sebelum ini melaporkan, kes serangan asid ke atas pemain Selangor FC, Faisal Halim disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Timbalan Speaker Mohd Kamri Kamaruddin memaklumkan Pejabat DUN Selangor sudah menerima maklum balas daripada Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berhubung usul 17 (1) Peraturan-Peraturan Tetap DUN Selangor yang dibawa oleh Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang).

sumber:- BH

Usul dikemukakan Abbas Salimmi sebelum sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1) pada 5 Julai itu antara lain mendesak siasatan menyeluruh terhadap kes simbah asid membabitkan pemain kebangsaan dan Faisal sudah dibahaskan oleh lima ADUN.