sukan

Sabah FC ke suku akhir dengan agregat besar

Sabah FC mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2024/25 selepas menyingkirkan pasukan Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC 7-0 secara agregat.

Selepas memenangi aksi pertama 4-0 di laman sendiri, skuad ‘Badak’ menewaskan lawan sama 3-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Keputusan ini menyaksikan Sabah FC akan menanti pemenang antara Penang FC ataupun Kuching City FC (KCFC) dengan KCFC ketika ini berkelebihan 1-0 secara agregat.

Tampanan pemain Sabah FC, Joao Pedro pada minit ke-13 tidak menepati sasaran meskipun berada di hadapan gol sebelum tandukan Telmo Castanheira yang menyambut hantaran lintang Farhan Roslan melambung tinggi pada minit ke-15.

Tindakan pertahanan PT Athletic FC, Abdul Latiff Suhaimi menerjah Farhan pada minit ke-63 mengundang padah selepas Sabah FC dihadiahkan sepakan penalti susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan ia disempurnakan Darren Lok untuk gol pembukaan Sabah FC.

Stuart Wilkin melebarkan jurang dengan gol kedua pada minit ke-72 menerusi satu rembatan deras menewaskan Muhammad Syakir Danial Ma’Amal Hajri buat kali kedua.

Pedro yang terlepas peluang demi peluang akhirnya berjaya menempatkan nama selaku penjaring apabila menghasilkan gol ketiga Sabah FC pada minit ke-80.

sumber:- BH

Namun, Pedro terlepas peluang untuk menambah gol keempat Sabah FC pada minit ke-83 apabila sepakan penaltinya diselamatkan Muhammad Syakir sebelum percubaan susulan Wilkin terkena tiang.