sukan

JDT sebenarnya lawan 14 pemain

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa jelas tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan ketika pasukan itu tewas 0-1 di tangan Shandong Taishan pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Pusat Sukan Olimpik Jinan, semalam.

Pemain berusia 38 tahun itu dilihat gagal mengawal perasaan ketika ditemubual selepas perlawanan terbabit dengan dia mendakwa pasukannya seperti beraksi menentang 14 orang permainan.

“Menarik untuk siapa? Untuk penyokong? Untuk pengadil? Untuk kami? Untuk siapa?. “Kami bermain dengan pasukan yang dibarisi 13, 14 pemain. Itu adalah perbezaan dalam perlawanan ini,” katanya.

Terdahulu, kekalahan di tangan wakil China itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus kempunan untuk merakam kemenangan pertama di tempat lawan bagi aksi ACLE pada musim ini.

Sebelum ini, mereka terikat 2-2 menentang Shanghai Port di Stadium Bolasepak Pudong sebelum tewas 1-3 di tangan kelab Korea Selatan, Gwangju FC pada aksi di Stadium Yongin Mireu.

Pada aksi terbabit, JDT berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-48 menerusi Jorge Obregon namun ia dibatalkan kerana ofsaid.

Jaringan kemenangan tuan rumah dihasilkan menerusi pemain gantian, Zeca pemain itu menyambut hantaran satu seorang lagi pemain gantian, Cryzan pada minit ke-68.

Dalam perkembangan sama, pemain berdarah kacukan ini menegaskan mereka akan tetap meletakkan fokus untuk kembali memburu kemenangan dalam perlawanan selepas ini.

“Kami akan terus berusaha. Seperti biasa, membuat persiapan untuk aksi berikutnya. Namun kami menyedari kadang-kala sukar untuk bermain seperti itu,” katanya.

sumber:- BH

Skuad bimbingan Hector Bidoglio itu akan meneruskan saingan ACLE menentang gergasi Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.