sukan

Komen penuh berang Natxo selepas JDT tumbang di tangan Shandong Taishan

Kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa, gagal mengawal perasaan ketika ditemubual selepas tamat perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang berkesudahan tewas 0-1 di tangan Shandong Taishan.

Pusat Sukan Olimpik Jinan menjadi medan pertembungan kelima JDT dalam aksi ACLE, bertemu Shandong dalam misi memburu kemenangan susulan mengatasi Ulsan dalam aksi terdahulu.

Jaringan tunggal Zeca pada minit ke-68 menjadi pemisah dalam perlawanan yang cukup dramatik di sebalik aksi cemerlang ditampilkan skuad yang berpangkalan di Selatan tanahair itu.

Dalam sesi temubual pasca-perlawanan, Natxo yang turun bermain sepenuh masa dalam perlawanan malam ini, ditanya, ‘bagaimanakah perasaan anda apabila tewas dalam perlawanan yang sangat menarik?’.

“Menarik untuk siapa? Untuk Penyokong? Untuk pengadil? Untuk kami? Untuk siapa?”JDT dilayangkan beberapa kad kuning dalam tempoh 30 minit pertama permainan, itu bukan sesuatu yang normal.

“Kami bermain dengan pasukan yang dibarisi 13, 14 pemain. Itu adalah perbezaan dalam perlawanan ini.

sumber:- stadium astro

Apabila diajukan soalan apakah impak di sebalik kekalahan yang mungkin menjejaskan harapan JDT dalam saingan ACLE, Natxo terus mencelah, “Kami akan terus berusaha. Seperti biasa, membuat persiapan untuk aksi berikutnya. Namun kami menyedari kadang-kala sukar untuk bermain seperti itu.”