Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menyalakan peluang untuk melayakkkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF selepas mengesahkan kemaraan ke suku akhir Masters China di Shenzen, hari ini.
Pasangan nombor lima dunia itu mara selepas mengetepikan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-13, 21-19 dalam tempoh 36 minit pada aksi pusingan kedua di Gimnasium Shenzen.
Aaron-Wooi Yik yang ketika ini menduduki ranking kesembilan Jelajah Dunia perlu mara ke separuh akhir Masters China untuk melonjakkan kedudukan mereka dalam kelompok lapan terbaik sekali gus layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, bulan depan.
Bagaimanapun, ujian getir menanti pasangan itu dalam buruan slot ke separuh akhir apabila dijadual menentang pilihan ketiga dari China, He Jing Ting-Ren Xiang Yu di suku akhir, esok.
Terdahulu, Jing Ting-Xiang Yu mara selepas menewaskan satu lagi pasangan negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King 21-10, 21-19.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang sudah pun mengesahkan tiket ke Hangzhou melangkah ke suku akhir selepas mengatasi gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin 21-18, 21-16 dalam aksi pusingan kedua.
Juara Terbuka China itu akan berdepan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutaman-Moh Reza Pahlevi Isfahani bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.
Dalam saingan beregu wanita, pasangan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi gandingan Jepun, Arisa Igarashi-Ayako Sakuramoto dalam pertarungan tiga set 21-18, 18-21, 21-13 untuk melangkah ke suku akhir.
sumber:- BH
Mereka akan berdepan pilihan kedua dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning bagi merebut tiket ke separuh akhir.