sukan

KL Rovers bakal dijual dengan harga RM3.5 juta

Selepas dibiarkan terkontang-kanting dalam tempoh agak lama hingga menyebabkan tunggakan gaji berlaku, difahamkan kelab Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) bakal dijual bagi menyelamatkan karier dan masa depan pemain serta pegawai pasukan itu.

Difahamkan, KL Rovers kehilangan ‘nakhoda’ apabila pemilik asal mahupun Ahli Lembaga Pengarah kelab itu tidak muncul untuk membela nasib pasukan.

Maka atas rasa tanggungjawab, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar tampil mengadakan pertemuan dengan pemain bagi mencari jalan penyelesaian.

Arena Metro yang turut dijemput dalam pertemuan itu mendengar rintihan pemain dan majoriti memberi kepercayaan kepada Syed Yazid untuk mencari pembeli baharu bagi meneruskan survival kelab itu yang kini menghuni tangga ketiga Liga A1 Semi Pro, selain berjaya layak beraksi di Piala Malaysia musim ini.

“KLFA bukan pemilik KL Rovers, tetapi mereka ahli gabungan kita. Mereka ada pemilik sendiri, tetapi sebagai ahli gabungan, KLFA perlu membantu juga.

“Pemain pun mahu terus bermain, jadi kita terpaksa mencari pembeli untuk kelab ini. Buat masa ini, ada dua pihak berminat untuk membeli KL Rovers.

“Satu syarikat tempatan manakala satu lagi syarikat dari luar negara yang saya tak boleh nak sebutkan buat masa ini. Nilai bersesuaian kita letakkan RM3.5 juta dan ia sekali dengan tunggakan gaji pemain,” kata Syed Yazid kepada Arena Metro.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai penjualan kelab itu dalam masa terdekat.

sumber:- HM

KL Rovers antara kelab yang mencatat pencapaian menakjubkan dalam saingan Liga Bolasepak Amatur apabila muncul naib juara Liga M3 dua musim berturut-turut pada 2022 dan 2023, selain konsisten layak bermain dalam Piala Malaysia selama dua musim pada 2023 dan 2024.