sukan

Haikal tumbangkan Rodtang

TENANG dan berfikiran positif menjadi kunci kejayaan peninju Hallo Fightlab, Mohd Haikal Salami ke atas lawannya dari Thailand Nong Ice Rodtang menerusi Tecnical Knockout (TKO) pada Kejohanan Grand Final Kuda Merah International Muaythai Challenge 2024 King of the Ring, malam tadi.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan, Kedah yang mengakui pada mulanya agak gementar namun berjaya menenangkan diri dan yakin beliau mampu menewaskan adik kepada juara ONE Championship, Rodtang Jitmuangnon pada pertemuan pertama mereka.

“Saya sangat bersyukur sebab segala usaha membuahkan hasil (dan dapat TKO pada pusingan ketiga daripada lima). Target saya nak ke tahap lebih tinggi seperti ONE Championship (namun) saya tahu agak mencabar sebab kena latihan 24 jam.

“Macam sekarang masih bersekolah jadi saya aturkan jadual. Pagi fokus belajar dan dalam 4 petang mula berlatih. Memang kena disipilin diri sendiri,” katanya kepada pemberita selepas membawa pulang tali pinggang tajaan ICU/JPM dan Radio Era selepas memenangi saingan berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Menceritakan latar belakangnya, anak kedua daripada enam beradik itu berkata, beliau mula menceburi sukan Muay Thai sejak berusia sembilan tahun dan mendapat bimbingan daripada bapanya Salami Nayan, 48, yang juga seorang guru Muay Thai di Felda Teloi Timur, Sik, Kedah.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan meluahkan rasa bangga atas kejayaan Mohd Haikal dan berharap beliau mampu menyinar seperti Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo Ghazali yang telah meraih pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara.

“Insya-Allah, saya juga akan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk bawa atlet-atlet kita,” katanya.

Sementara itu, peninju Kelab Kuda Merah PDRM, Mohd Rais Mohd Junaidi mengalahkan Mohd Juwaidi Abd Wahab yang mewakili Urat Merah Naratiwat Thailand untuk mengungguli saingan Belt Pulapol dan Celcius menerusi kemenangan mata.

Beliau berkata, strategi yang digunakan ialah dengan menguji kemampuan lawan pada pusingan pertama sebelum menunjukkan keupayaannya pada set kedua dan hanya menjaga mata yang diperoleh pada set terakhir.

“Kemenangan ini saya dedikasikan kepada ketua jurulatih Kuda Merah, Rosli Yaacob yang akan bersara pada Isnin (18 Nov) ini. Kelima-lima penyertaan semua bawah dia dan empat kali berturut-turut menang.

sumber:- SH

“Tidak lupa juga kepada pengurus pasukan yang banyak bantu kewangan dan latihan. Selepas ini saya berharap dapat mewakili Malaysia dalam Sukan SEA,” katanya. – Bernama