Bintang muda, Justin Hoh menempah pertemuan dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia di pusingan pertama Masters Kumamoto di Jepun, esok.
Ini selepas pemain ranking ke-50 dunia itu berjaya melepasi pusingan kelayakan, hari ini.
Pada aksi di Gimnasium Kumamoto Prefectural itu, Justin cemerlang apabila mengetepikan pemain ranking ke-36 dunia dari Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin 21-15, 21-15 dalam perlawanan pertama kelayakan.
Dia yang kemudiannya bertemu seorang lagi pemain Korea, Cho Geonyeop dipaksa bermandi peluh apabila diheret beraksi dalam tiga set sebelum melakar kemenangan 21-15, 20-22, 21-17 sekali gus menempah tiket ke undian utama untuk berentap dengan Zii Jia.
Ia akan menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pemain berkenaan dalam kejohanan antarabangsa.
Zii Jia pastinya mahu mengelak daripada ‘dimalukan’ Justin dengan dia perlu menghasilkan positif pada kejohanan kali ini dalam usahanya untuk memburu tiket ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan depan.
Ketika ini pemenang pingat gangsa itu menduduki tangga keenam ranking Jelajah Dunia dengan hanya tujuh pemain teratas layak ke kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.8 juta) itu.
Pemain Denmark, Viktor Axelsen layak secara automatik ke Hangzhou atas tiket selaku pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, beregu lelaki profesional, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong turut mara ke undian utama selepas mengatasi gandingan Taiwan Chen Cheng Kuan-Chen Sheng Fa 18-21, 23-21, 21-11.
sumber:- BH
Mereka akan berdepan satu lagi pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin, esok.