Tiada kad merah dilayangkan kepada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi selepas dilihat menumbuk pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada mencetus perdebatan hangat dalam kalangan penyokong khususnya di media sosial.
Majoriti penyokong bola sepak berpendapat pemain sayap kebangsaan itu seharusnya dibuang padang kerana menumbuk pemain lawan sememangnya satu kesalahan kad merah atas tindakan ganas berdasarkan peraturan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB).
Ketika insiden yang tercetus pada minit ke-83 itu, Tommy dilihat mengasari Arif Aiman dan situasi itu mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pemain sebelum rakan sepasukan dan pengadil, Razlan Joffri Ali turut serta meleraikan pergaduhan itu.
Razlan dilihat melayangkan kad kuning sebelum Arif Aiman menumbuk muka Tommy namun penyokong menyatakan kehairanan selepas Arif Aiman ‘terlepas’ daripada sebarang layangan kad merah susulan tindakan ganas itu.
Berdasarkan semakan kes terdahulu dalam Liga Malaysia, penyerang JDT, Bergson da Silva pernah dilayangkan kad merah kerana menumbuk kepala pertahanan Kedah, Rodney Calvin pada tahun 2022.
Malah, pemain PKNP FC, Muhammad Fadhil Idris yang menumbuk muka pemain Terengganu FC, Issey Farran Nakajima pada 2017 turut dilayangkan kad merah dan lebih malang, pemain itu digantung empat perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia.
Bukan sahaja insiden membabitkan Arif Aiman malah penyokong turut mempersoalkan dua lagi insiden yang tercetus pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim yang mana Perak turun selaku pasukan tuan rumah.
Perak tidak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-37 meskipun pertahanan JDT, Feroz Baharudin mengasari Clayton Silveira ketika perebutan bola dan semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan tiada sepakan penalti.
Namun berbeza buat JDT apabila kekasaran dilakukan pertahanan Perak ke atas Bergson di hujung babak pertama menyaksikan mereka dihadiahkan sepakan penalti oleh VAR dan ia mudah disempurnakan Bergson untuk kedudukan 4-0 buat Harimau Selatan.
sumber:- BH
JDT menang besar 5-0 pada aksi Liga Super yang tertunda dua kali kerana faktor cuaca dengan Perak memilih untuk beraksi di Iskandar Puteri.