Ruud van Nistelrooy meluangkan masa di atas padang Old Trafford selepas Manchester United membelasah Leicester City 3-0 awal pagi tadi dalam perlawanan terakhirnya sebagai pengurus sementara, namun pengendali dari Belanda itu berkata ia lebih kepada merayakan detik indah daripada ucapan selamat tinggal.
United mencatatkan tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan di bawah Van Nistelrooy yang mengambil alih tugas pengendali sementara sejak Erik ten Hag dipecat.
“Bukan (ucapan selamat tinggal),” kata Van Nistelrooy.
“Saya rasa ia untuk meraikan kejayaan dalam tempoh ini dan sebenarnya itu adalah tempoh yang indah untuk diraikan.”Ia adalah kenangan indah yang datang bersama dan ia adalah rasa terima kasih dari saya kepada mereka (penonton) dan sambutan yang saya terima sangat luar biasa.”
Penyokong melaungkan namanya pada minit-minit akhir perlawanan dan kemudian menyanyikannya dengan “Ruuudddd!” ketika beliau berjalan ke arah Stretford End selepas wisel penamat.
Dengan ketibaan pengurus baru Ruben Amorim hari ini, nasib Van Nistelrooy masih belum diketahui sama ada beliau akan menjadi sebahagian daripada pasukan baru yang akan disusun semula ataupun sebaliknya.
Beliau menjangka akan mengetahui keputusan itu hari ini atau esok.
“Saya hanya boleh menggambarkan suasana itu, bagaimana saya merasakannya dan selepas tamatnya empat perlawanan ini, ia adalah sesuatu yang patut diraikan dan dirasai.
“Masa depan masih terbuka, begitulah saya merasakannya.
“Ia adalah keadaan yang indah untuk berkongsi dengan penyokong. Ya, istimewa, ” kata Van Nistelrooy.
Kapten United, Bruno Fernandes, tidak menjaringkan gol dalam 17 perlawanan terakhirnya di bawah Ten Hag, tetapi menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan bersama Van Nistelrooy, termasuk gol pertama United awal pagi tadi.
Pengurus itu berkata, sebahagian besar peranannya adalah untuk menstabilkan pasukan dan memberikan keyakinan dalam masa yang singkat selepas permulaan musim yang penuh berliku.
“Apabila saya bermula sebagai pengurus sementara untuk tempoh empat perlawanan ini, fokus saya adalah menstabilkan pasukan dan terus bermain dengan apa yang pemain biasa lakukan.
“Saya buat sedikit perubahan atau ubah posisi, atau rehatkan pemain atau mula menurunkan pemain dan di situlah anda mula mendapat sedikit identiti anda, memindahkannya ke padang latihan, mendapatkan kembali keyakinan,” kata bekas penyerang United itu.
sumber:- HM
Beliau akan menyerahkan pasukan kepada Amorim dalam keadaan yang baik.