sukan

‘Kuda tua’ masih berbisa

Tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa menjadi pemain paling berusia yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, bulan ini.

Meskipun dilabel sebagai ‘kuda tua’, namun Natxo berjaya memikat hati ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dengan pemain berusia 38 tahun itu tersenarai dalam 26 pemain untuk menyertai kem latihan pusat bermula Ahad ini.

Natxo yang pernah bersama beberapa kelab Sepanyol termasuk Valencia memainkan peranan penting dan beraksi cemerlangnya bersama JDT termasuk dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menegaskan bahawa usia bukan ukuran untuk pemain mendapat panggilan menyarung jersi skuad kebangsaan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa prestasi semasa menjadi perkara paling utama buat mana-mana pemain dipilih jurulatih bagi memberi impak kepada skuad Harimau Malaya.

“Kita kena tengok juga fasiliti dan corak latihan yang dilalui (pemain di kelab). Kita tahu JDT kelab yang boleh dikatakan tersohor dan memiliki fasiliti canggih. Jadi tahap kecergasan seseorang pemain itu tentu diambil kira.

“Kalau kita tengok Ronaldo pun berusia lebih 30 tahun, tapi masih lagi mempamerkan prestasi yang baik. Terpulang kepada pemain itu sendiri selain dibantu dengan fasiliti kelab dalam membentuk prestasi serta tahap kecergasan mereka.

“Umur bukan ukuran, prestasi semasa yang penting. Jika prestasi pemain itu boleh membantu pasukan negara, umur bukan satu halangan untuk mereka dipanggil.

“Pemain senior juga lebih matang dan berpengalaman, jadi dia boleh mencorakkan permainan pasukan termasuk memperlahankan atau melajukan tempo permainan,” katanya kepada BH Sukan.

Berdasarkan senarai 26 pemain yang dipanggil Vicente, tiga pemain termasuk Natxo, Paulo Josue (35 tahun) dan Daniel Ting (32) menjadi pemain yang berusia lebih 30 tahun.

Pengendali dari Sepanyol itu menyenaraikan 15 pemain berusia 24 hingga 30 tahun selain lapan pemain berusia 23 tahun dan ke bawah termasuk bintang muda yang berstatus senior, Arif Aiman Hanapi.

sumber:- BH

Skuad negara akan menentang Laos di Stadium PAT, Bangkok, Thailand pada 14 November depan sebelum bertandang ke Stadium Gachibowli, Hyderabad untuk berdepan India (18 November).