sukan

Mungkin dari negeri-negeri lain juga ada bakat

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berharap satu mekanisme mampan dapat ditemui bagi meningkatkan prestasi skuad bawah 17 (B-17) tahun negara khususnya struktur pembangunan di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD).

Jelas Firdaus, kegagalan pasukan muda negara di Kelayakan Piala Asia B-17 di Laos, Ahad lalu perlu dilihat secara holistik bagi memperbaiki kelemahan yang ada agar produk AMD yang beraksi buat skuad negara benar-benar membawa impak berkesan yang diinginkan.

“AMD adalah pusat latihan yang mengumpulkan pemain-pemain muda terbaik dari seluruh negara untuk diasah lagi bakat dan potensi mereka, dengan menggunakan fasiliti dan kemudahan canggih di situ.

“Tapi keputusan seri dengan Laos seolah memberi gambaran kelemahan yang ada dalam aspek pembangunan terutama di AMD.”Saya fikir soal kualiti jurulatih yang melatih pemain-pemain perlu dilihat semula. Kita perlukan jurulatih yang bagus untuk membentuk pemain-pemain yang sememangnya terbaik di AMD.

“Jadi perkara ini harus diteliti dan diperkemaskan lagi agar kewujudan AMD ini tidak sia-sia,” katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, harapan skuad B-17 untuk layak secara merit ke Piala Asia terhenti apabila seri 2-2 dengan Laos dan tewas 0-2 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kumpulan H.

Kegagalan meraih tiket ke Piala Asia itu menyaksikan satu lagi episod duka buat pasukan muda negara itu yang rata-ratanya ditunjangi pemain dari AMD dan juga akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) serta beberapa pemain dari pasukan negeri.

Ujar Firdaus lagi, beliau turut berharap selepas ini jurulatih kebangsaan peringkat umur dan pencari bakat tidak mengenepikan pemain-pemain dari negeri lain yang mungkin terlepas pandang oleh pihak tertentu.

“Satu lagi, lepas ini saya harap pemilihan pemain itu biarlah menyeluruh. Jangan hanya ambil pemain dari AMD sahaja, mungkin dari negeri-negeri lain juga ada bakat yang terlepas pandang.

sumber:- HM

“Jika kita mengabaikan potensi pemain dari luar sistem AMD, akhirnya negara yang rugi kerana kita kehilangan permata yang tersisih sedangkan mereka juga ada potensi untuk diketengahkan,” katanya.