Johor Darul Ta’zim (JDT) belum memikirkan untuk bermain bunga api atau merangkul kejuaraan ke-11 berturut-turut Liga Super meskipun meninggalkan pencabar terdekat, Selangor dengan lapan mata.
Ia susulan kejayaan Harimau Selatan menewaskan Gergasi Merah 3-0 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio dilihat mengambil sikap merendah diri dengan memberi bayangan bahawa perjalanan pasukannya masih jauh dan mereka perlu memberi fokus dalam baki perlawanan yang ada.
Pengendali dari Argentina itu berkata, kemenangan ke atas Selangor adalah penting untuk menjarakkan mata dalam saingan liga namun masih terlalu awal buat mereka memikirkan kejuaraan.
“Semua perlawanan awal sukar, jadi tiga mata adalah sangat penting. Namun, kami kena fokus satu demi satu perlawanan dan kami masih ada banyak perlawanan yang perlu diharungi.
“Pada pendapat saya, sejak dari awal musim hingga sekarang kami menunjukkan perkembangan dan semua pemain ada tanggungjawab ketika bertahan mahupun menyerang.
“Saya gembira dengan prestasi semua pemain, namun kami kena terus bekerja keras. Kami kena tingkatkan lagi kemahiran individu dan cara permainan berpasukan.
“Perkara itu mustahak kerana kami akan harungi musim yang panjang dan kami tahu selepas ini kami akan hadapi aksi penting,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Jaringan daripada Romel Morales dan dua gol yang disumbangkan Bergson Da Silva membantu JDT mengekalkan rekod tanpa kalah dan membawa pulang tiga mata berharga dari Stadium MBPJ.
sumber:- BH
Kemenangan itu menyaksikan JDT kini mengumpul 34 mata selepas mengharungi 12 perlawanan, lapan mata di depan Selangor yang menghuni tangga kedua.