sukan

Komen Bidoglio arahan AFC aksi berdepan Gwangju FC

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio lebih mengutamakan persiapan pasukan berbanding memikirkan kekuatan Gwangju FC apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Yongin Mireu, di Yongin, Korea Selatan, petang esok.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, walaupun sedar ia perlawanan sukar buat JDT tatkala kelab dari Korea Selatan memiliki barisan pemain berkualiti dan gemar mengawal bola, barisan pemain JDT harus lebih fokus untuk berdepan lawan, petang esok.

“Tidak dinafikan pembabitan kami dalam kancah ACLE tampak konsisten dan kami tahu akan berdepan kesukaran apabila berdepan Gwangju FC namun kami juga ada potensi untuk memperagakan aksi terbaik.

“Kami tahu intensiti permainan Gwangju FC jelas mengamalkan corak permainan pantas namun apa yang kami fokuskan adalah persiapan pasukan JDT kerana itu lebih penting malah kami juga gemar bermain dengan taktikal mengawal bola.

“Mengenai status Jese (Rodriguez) dia berada dalam kondisi yang baik dan akan ada peluang diturunkan dalam kesebelasan utama namun saya ada masa lagi untuk putuskan siapa yang akan diturunkan,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan venue perlawanan yang diarahkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas mendapati Stadium Bolasepak Gwangju itu tidak berada dalam keadaan terbaik sekali gus tidak sesuai untuk melangsungkan aksi ACLE itu, Bidoglio menegaskan ia tidak menjejaskan persiapan skuad Harimau Selatan.

“Kami tidak kisah bermain di mana-mana stadium kerana apa yang kami utamakan memberi fokus kepada persiapan pasukan dan itu lebih penting berbanding memikirkan venue mana yang perlu kami beraksi.

Sementara itu, kapten Natxo Insa juga memberi pandangan yang sama mengenai perubahan venue perlawanan malah dia menegaskan soalan pihak media itu sepatutnya diajukan kepada Gwangju FC dan bukannya JDT.

“Saya tidak tahu sama ada pemain Gwangju FC selesa beraksi di venue berbeza dan bukan di laman mereka sendiri dan anda sepatutnya tanya mereka dan bukan kami.

sumber:- HM

“Untuk aksi menentang Gwangju FC, kami menghormati mereka malah sudah membuat persiapan rapi terutama dari aspek mental dan fizikal dan saya jangkakan ia perlawanan sengit dan berintensiti tinggi,” kata Natxo.